X

Kindly register in order to view this article
!

Ingkar PKPP: Jumlah tertinggi individu kena kompaun direkod semalam

Ismail Sabri
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jumlah mereka yang dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam menunjukkan peningkatan mendadak kepada 673, jumlah tertinggi sejak pelaksanaan perintah itu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, aktiviti kelab malam merekodkan jumlah yang dikompaun tertinggi iaitu 600 individu, diikuti penjarakan sosial (127) dan gagal merekod butiran pelanggan (14).

“Ini menunjukkan bahawa keingkaran bertambah, mungkin rakyat telah merasakan bahawa PKPP sudah tidak ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi sebab itu ramai yang dikenakan kompaun," katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan PKPP hari ini.

Selain itu, beliau berkata, seramai 98 individu direman dan tujuh lagi dijamin menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan kerana ingkar PKPP semalam seramai 778 orang.

Bagi kawalan sempadan negara menerusi Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan 63 sekatan jalan raya dan menahan seorang warga asing kerana kesalahan imigresen. - Bernama

Sementara itu, seramai 20,840 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga semalam dan daripada jumlah itu, 8,767 sedang menjalani kuarantin wajib di 72 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA), 66 individu dibawa ke hospital untuk rawatan dan 12,007 lagi telah dibenarkan pulang.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Aman Jaya, Kedah yang dilaksanakan bermula 28 Ogos akan berkuat kuasa hingga 10 September ini.

Mengenai Tabung Covid-19 yang dilancarkan pada 11 Mac lepas, Ismail Sabri berkata, tabung itu telah menerima sumbangan berjumlah RM44.517 juta daripada institusi diraja, syarikat swasta dan rakyat Malaysia.

"Daripada jumlah itu, RM31.5 juta telah dibelanjakan, merangkumi Program Bakul Makanan (RM25.23 juta), Bantuan Khas Pengurusan Kematian (RM595,000) dan Bantuan Khas Hilang Pendapatan (RM5.67 juta).

"Tarikh tutup permohonan Bantuan Khas Covid-19 telah dilanjutkan mengikut tempoh pelaksanaan PKP iaitu sebulan selepas PKP ditamatkan dengan maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma)," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!