Calon tepat bawa kemenangan kepada BN

Tengku Razaleigh bersama moderator, Norali Nordin dalam ceramah 'Masa Depan Orang Melayu', malam tadi.
A
A

IPOH - Pemilihan calon yang tepat antara penyumbang terbesar kemenangan BN di PRK Cameron Highlands, semalam.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ciri-ciri seperti anak tempatan Orang Asli dan terkemuka dalam kalangan penduduk di situ memberi kelebihan dalam meraih kepercayaan pengundi.

"Bersyukurlah kita menang walau telah diberi gambaran bahawa kawasan itu dapat dimenangi BN.

"Kita buat pilihan calon yang tepat, dia pun peramah dan senang orang nak hubungi, malah kita tiada isu perebutan calon, itu dapat diterima ramai.

"Jadi ini antara punca kemenangan sedangkan calon-calon lain terutama parti lawan BN datangnya dari luar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah 'Masa Depan Orang Melayu' anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) di Kelab Golf Diraja Perak, malam tadi.

Menurutnya, tambahan pengundi kepada BN kali ini telah menyatakan bahawa orang Pas memberi sokongan kepada calon BN.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas sama ada kerjasama itu dapat mengukuhkan hubungan antara BN dengan Pas dalam menghadapi siri pilihan raya akan datang termasuklah PRU.

"Yang itu kita tak tahulah, tetapi nampak ada kerjasama buat masa ini di PRK Cameron Highlands, sokongan mereka sama ada genuine atau tidak, itu kita tak tahu," katanya.

Keputusan PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan calon BN, Ramli Mohd Nor menang dengan majoriti lebih besar iaitu 3,238 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran 8,800 undi; calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata, kemenangan BN itu belum tentu memberi momentum sama dalam PRK Dun Semenyih, 2 Mac depan.

Katanya, selaku kerajaan yang memerintah, PH pastinya melipat gandakan usaha dan tenaga agar tidak kehilangan kerusi di situ.

"Ikut khabar yang saya dengar, kita ada peluang baik di sana, tetapi saya sendiri belum berkesempatan ke sana dan belum tahu keadaan sebenar on the ground," katanya.

Sementara itu, dalam ceramahnya Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, Umno memerlukan wajah baru sekiranya mahu terus menjadi parti yang diyakini rakyat.

Menurutnya, kepimpinan sedia ada perlu insaf dan sedar diri untuk berundur bagi memberi laluan kepada orang-orang baru terutama pemimpin muda.

"Saya rasa itu boleh kukuhkan lagi jaminan dan keyakinan kepada parti yang nak memberi khidmat kepada orang ramai bukannya yang sudah rosak peribadinya," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia