Operasi kekang penjenayah aktif selepas PKP

Kumaran (tengah) ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Ops Pencegahan Jenayah Kontinjen Selangor di IPD Petaling Jaya, hari ini.
Kumaran (tengah) ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Ops Pencegahan Jenayah Kontinjen Selangor di IPD Petaling Jaya, hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Penjenayah dikesan kembali aktif meneruskan kegiatan mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir dan laporan polis berhubung kejadian samun, ragut serta pecah rumah juga meningkat di beberapa daerah di negeri ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor, Datuk K Kumaran berkata, kes samun jalanan merupakan antara jenayah yang kerap dilaporkan.

Beliau memberitahu, susulan itu, satu langkah drastik telah diambil iaitu pelancaran Ops Pencegahan Jenayah Kontinjen Selangor secara besar-besaran sehingga 30 September ini.

"Operasi ini akan melibatkan sebanyak sembilan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor iaitu IPD Petaling Jaya, IPD Serdang, IPD Kajang, IPD Gombak, IPD Ampang Jaya, IPD Sungai Buloh, IPD Shah Alam, IPD Klang Utara dan IPD Klang Selatan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran operasi itu di IPD Petaling Jaya, hari ini.

Tambah Kumaran, operasi melibatkan seramai 74 pegawai dan 668 anggota dari setiap bahagian dan cawangan kontinjen Selangor serta semua elemen pencegahan jenayah termasuk unit kereta peronda, unit rondaan bermotosikal dan trafik.

Katanya, sepanjang operasi ini tangkapan akan dilaksanakan ke atas individu dikehendaki.

Mengulas lanjut, Kumaran berkata, walaupun kadar pertumbuhan kes jenayah di Selangor tidak membimbangkan namun pihaknya menyasarkan penurunan kadar jenayah sebanyak lima peratus menerusi ops ini.

"Kita juga berharap orang awam menyalurkan maklumat untuk bersama mengekang kegiatan jenayah dengan lebih berkesan," katanya.

Artikel Berkaitan: