Operasi musim tengkujuh: Terpulang kepada pengusaha

Ariffin (dua dari kiri) cuba membuat wau sobek sempena Majlis Pelancaran Wau Sobek @ Permai Hotel.
Ariffin (dua dari kiri) cuba membuat wau sobek sempena Majlis Pelancaran Wau Sobek @ Permai Hotel.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terpulang kepada pemain industri seperti pengusaha hotel, resort dan chalet di pulau-pulau peranginan di negeri ini sama ada akan meneruskan operasi pada musim tengkujuh atau sebaliknya.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri tidak pernah menghalang mahupun mengeluarkan arahan untuk menutup pulau-pulau peranginan pada musim tengkujuh.

Menurutnya, penutupan operasi di hotel, resort dan chalet di pulau sebelum ini adalah inisiatif daripada pemain industri sendiri.

"Sebenarnya, tidak ada istilah kerajaan tutup pulau kerana ia adalah atas inisiatif pemain industri sendiri. Apabila berlaku musim tengkujuh, air laut bergelora dan hujan lebat.

"Namun ada masa-masa sebenarnya tak berlaku, cuma mereka (pemain industri) membuat konservasi, maksudnya daripada segi coral... mereka hadkan orang, jadi lebih baik (tutup) untuk penjimatan (kos operasi) chalet mereka.

"Jadi sebab itu mereka ambil langkah tutup tetapi tiada tarikh khusus sebenarnya dan tiada halangan (beroperasi di musim tengkujuh), kalau tidak ada masalah boleh terus," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Wau Sobek @ Permai Hotel sempena ‘Terengganu Cultural Festival’ di sini semalam.

Ariffin (tiga kiri) pada Majlis Pelancaran Wau Sobek @ Permai Hotel.
Ariffin (tiga kiri) pada Majlis Pelancaran Wau Sobek @ Permai Hotel.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemain industri yang ingin meneruskan operasi pada musim tengkujuh diingatkan agar mengutamakan aspek keselamatan dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata walaupun ada permintaan daripada pelancong.

Artikel Berkaitan:

“Mereka perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan negara masih berhadapan dengan Covid-19 dan berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Kebiasaannya hotel, resort dan chalet di pulau-pulau peranginan di Terengganu menghentikan operasi dan pakej tempahan bermula Oktober hingga Februari sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.

Penutupan itu dibuat atas faktor keselamatan pelancong terutama ketidaktentuan keadaan cuaca dan laut bergelora dan sepanjang tempoh berkenaan kebiasaannya mereka membaik pulih kemudahan di tempat masing-masing.

Hanya beberapa buah sahaja yang dilaporkan beroperasi sepanjang tahun terutamanya bagi memenuhi permintaan pelancong asing yang berminat dengan sukan luncur ombak.