Polis serbu 'disko' haram warga Indonesia

Antara yang ditahan dalam operasi di sebuah premis di Taman Bayu Perdana, Klang kelmarin.
Antara yang ditahan dalam operasi di sebuah premis di Taman Bayu Perdana, Klang kelmarin.
A
A
A

KLANG - Polis menyerbu sebuah kedai di Taman Bayu Perdana di sini yang diubah menjadi 'disko' kononnya untuk meraikan kemeriahan ambang merdeka kelmarin.

Keghairahan 40 warga Indonesia termasuk 15 wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu terbantut selepas premis terbabit diserbu sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati penganjuran pesta itu dilakukan menerusi media sosial termasuk aplikasi WhatsApp.

"Siasatan juga mendapati hanya dua daripada mereka menetap di Klang manakala selebihnya datang dari luar daerah ini.

"Sewaktu serbuan didapati semua warga Indonesia sedang menari dan berhibur. Apabila menyedari kehadiran polis, terdapat antara mereka cuba meloloskan diri, namun tindakan itu gagal," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati kebanyakan warga Indonesia terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Polis percaya rumah kedai itu juga pernah beroperasi sebagai pusat berhibur secara haram sebelum ini.

"Tiga lelaki warga Bangladesh yang bertindak sebagai penjaga premis turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan sedang dijalankan untuk mengesan pemilik premis tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 61 (c) dan Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63 selain Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.