Sultan Johor hidupkan semula gelaran Mejar Cina

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar: Foto ihsan royal Press Office (RPO). Kenyataan yang dikeluarkan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar: Foto ihsan royal Press Office (RPO). Kenyataan yang dikeluarkan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor berkenaan menghidupkan semula gelaran Mejar Cina yang pernah dikurniakan Sultan Abu Bakar sebelum ini sebagai kesinambungan sejarah Johor moden.

Selaras dengan langkah tersebut, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melantik pengurus Ladang Sawit Mado’s, David Wong Khong Soon sebagai Mejar Cina berkuat kuasa pada hari ini.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli berkata, David Wong yang berketurunan Wang Ah Fook akan menjalankan tugas dan bekerjasama dengan Yayasan Sultan Ibrahim dan Yayasan Diraja Johor yang lain.

"Ini termasuk bekerjasama dengan pegawai daerah, wakil rakyat, penghulu dan ketua masyarakat dalam mengenal pasti penerima, menyelaras, mengatur dan melaksanakan pengagihan bantuan keperluan makanan kepada Bangsa Johor khususnya masyarakat Cina di daerah-daerah.

"Dalam menjalankan tugas ini, Mejar Cina Wong tidak disifat sebagai wakil raja. Beliau tidak dibekalkan dengan apa-apa kuasa, hak, imbuhan, kemudahan atau keistimewaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 1840, Temenggong Daeng Ibrahim membenarkan pengikutnya daripada bangsa Cina berpindah dari Singapura ke Tanah Besar Johor dan membuka sebuah penempatan dinamakan Kangkar di tebing sungai Tebrau.

Pada 1870, terdapat 29 kangkar di Johor. Masyarakat Cina pada masa itu dibenar menjalankan kegiatan pertanian dan ternakan, budaya dan agama tradisi mereka tanpa gangguan.

Temenggong melantik seorang ketua dalam kalangan penduduk Kangkar sebagai Kangcu untuk mengurus dan mengawal keselamatan mereka.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang berkebolehan dilantik sebagai kapitan Cina dan Mejar Cina, antara tugas mereka ketika itu menjadi perantaraan bagi menyalurkan apa juga titah Sultan kepada kepada rakyat khasnya kaum Cina.

Begitu juga bagi mendapatkan maklum balas masyarakat Cina untuk dijadikan asas perancangan kemajuan mereka agar tidak dipinggirkan selain membentuk dan mengukuh perpaduan dalam masyarakat.

Masyarakat Cina menghargai jasa Temenggong dan Mahajara Abu Bakar dan pada 1873, mereka membina serta menghadiahkan bangunan Dewan Cina di kawasan Istana Besar kepada Maharaja Abu Bakar untuk dijadikan tempat mesyuarat dewan negeri.

Dewan berkenaan juga menjadi tempat perjumpaan Maharaja dengan Kangcu setiap tahun menyambut ulang tahun Hari Kerajaan.