Mohd Hafiz pangku jawatan Ketua Polis Daerah Jempol

Mohd Hafiz (kiri) menerima tugas memangku jawatan Ketua Polis daerah Jempol daripada Mohd Khairiel (kanan) disaksikan Che Zakaria (tengah).
Mohd Hafiz (kiri) menerima tugas memangku jawatan Ketua Polis daerah Jempol daripada Mohd Khairiel (kanan) disaksikan Che Zakaria (tengah).
A
A
A

JEMPOL - Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor memangku jawatan sebagai Ketua Polis Daerah (IPD) Jempol berkuat kuasa kuasa hari ini selepas bekas Ketua Polis daerah Jempol, Mohd Khairiel Mohd Arif dinaikkan pangkat daripada Superintenden kepada Asisten Komisioner.

Mohd Khairiel bertugas di IPD Jempol selama tujuh bulan dan akan memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang.

Majlis terima tugas antara Mohd Khairiel dan Mohd Hafiz disaksikan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Che Zakaria Othman hari ini di Dewan IPD Jempol.

Majlis turut menyaksikan serah terima tugas Persatuan Keluarga Polis ( PERKEP) di antara Safinaz Muhamad Yusuf dan Noorain Khairudin.

Pemangkaian pangkat Asisten Komisioner kepada Mohd Khairiel disempurnakan Che Zakaria.

Che Zakaria dalam ucapannya berkata, kenaikan pangkat bukan satu kemegahan sebaliknya amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul.

" Laksanakan tugas dan amanah dengan sepenuh hati, berkhidmatlah dengan profesional serta integriti yang tinggi pada setiap masa," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Mohd Khairiel banyak menyumbang khidmat bakti dan menabur jasa kepada pasukan khususnya di IPD Jempol dan Kontinjen Negeri Sembilan amnya.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh tujuh bulan memimpin IPD Jempol beliau berjaya melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan berkesan sekali gus membawa keamanan dan keselamatan warga Jempol khususnya, serta menaikkan imej Polis Kontinjen Negeri Sembilan di mata masyarakat," katanya.