X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita sebak bertemu Ustaz Ebit Lew

Wanita sebak ketika menerima kunjungan Ustaz Ebit Lew di rumahnya di Sandakan.
A
A

SANDAKAN - Seorang wanita tidak dapat menahan sebak apabila pertama kali bertemu dengan penceramah tersohor, Ustaz Ebit Lew di kediaman rumahnya di sini.

Perkongsian pertemuan penuh bermakna itu dimuat naik di akaun Facebook rasmi penceramah itu semalam.

Dalam pertemuan tersebut, wanita keturunan Bajau itu terkejut dan bersyukur kerana Ustaz Ebit Lew sudi menjenguk mereka di rumah usang yang didiami tujuh beranak itu.

Ebit Lew berkongsi hiba melihat rumah wanita itu yang terlalu kecil untuk mereka sekeluarga.

"Rumah kecil macam kotak kecil je. Saiz ngam-ngam je jika 5 anak ini baring.

"Kakak ini orang Bajau Sabah dan suaminya Dusun. Ada dapat tanah di tempat lain. Cuma belum ada rezeki nak buat rumah," kongsinya.

Jelasnya, tiga anak wanita itu juga tidak bersekolah berikutan masalah kewangan.

"Mereka ada 5 orang anak, tiga darinya tidak bersekolah namun berhasrat mahu ke sekolah.

"Saya niat nak bantu mereka untuk masuk sekolah atau madrasah. Jika berbayar insya-ALLAH saya akan bayarkan. Ada juga minta penduduk tempatan dan NGO tempatan untuk urusan itu," tulisnya di Facebook.

Ebit Lew turut memaklumkan beliau menghadiahkan peti sejuk, tilam, dapur, periuk nasi elektrik dan sumbangan wang.

Sementara itu, video durasi 6 minit 28 saat itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen sehingga meraih lebih 700,000 tontonan sejak dimuat naik.

Menjengah di ruang komen, netizen turut sebak keikhlasan Ustaz Ebit Lew membantu golongan kurang mampu tidak kira di mana sahaja.

"Memang sebaklah kalau tengok ustaz pergi menjenguk dan menolong saudara yang dalam kesusahan ni... Alhamdulillah syukur Ya ALLAH... moga rezeki ustaz bertambah, melimpah ruah seperti air yang mengalir. Amin," kata Sal Hisham.

Jelas Zeck pula, sikap bantu membantu ditonjolkan oleh Ustaz Ebit Lew wajar dijadikan contoh dan moga diberi kesihatan yang baik.

"Alhamdulillah, ALLAH anugerahkan seorang insan yang benar dan berhati suci semoga ALLAH sentiasa memayungi ustaz sekeluarga," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!