Waspada skim pelaburan, perniagaan salah guna logo, nama PIDM

PIDM
PIDM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) meminta orang awam berwaspada dengan bahan pemasaran palsu menyalahgunakan nama dan logo PIDM bagi mempromosikan skim pelaburan atau perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rafiz Azuan Abdullah berkata, PIDM menerima beberapa pertanyaan daripada konsumer kewangan mengenai bahan pemasaran berkaitan pelaburan, skim dan produk atau kewangan yang memaparkan nama dan logo perbadanan itu.

Menurutnya, ramai diminta membuat pembayaran mengaktifkan perlindungan PIDM bagi menerima dana daripada pihak ketiga, biasanya dalam bentuk pulangan pelaburan daripada skim, perkhidmatan atau produk kewangan.

"Saya ingin menegaskan perlindungan disediakan PIDM kepada pendeposit bank, pemilik sijil takaful dan polisi insurans secara automatik dan percuma. Perlindungan ini tidak memerlukan sebarang pembayaran dan pendaftaran.

"Orang ramai juga diingatkan bahawa perlindungan PIDM tidak merangkumi pinjaman dan produk kewangan bukan deposit seperti unit amanah, saham dan produk pelaburan emas dan perak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafiz berkata, institusi ahli PIDM membabitkan semua bank perdagangan konvensional dan bank Islam, syarikat insurans am, syarikat insurans hayat, serta pengendali takaful dilesenkan Bank Negara Malaysia dengan senarai penuhnya boleh didapati di pidm.gov.my.

Bagi contoh bahan pemasaran atau dokumen menyalahgunakan info perlindungan PIDM atau menggunakan nama dan logo PIDM tanpa kebenaran, beliau menegaskan senarai itu juga boleh dirujuk di laman webnya itu.

"Sekiranya anda dihubungi pihak mengutip bayaran atau yuran bagi perlindungan PIDM, sila maklumkan kepada kami.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat ini dapat membantu kami mengeluarkan amaran kepada orang awam agar lebih berwaspada terhadap cubaan menipu.

"Orang awam juga boleh merujuk kepada senarai peringatan pengguna diterbitkan pengawal selia kewangan lain dan semak laman web itu untuk mengetahui nombor akaun bank atau nombor telefon dilaporkan kepada polis berkaitan penipuan," katanya.

Sementara itu, Rafiz Azuan turut menggalakkan orang awam menghubungi PIDM di talian bebas tol 1-800-88-1288 untuk mendapatkan maklumat lanjut.