Annuar perlu dedah data sebenar pemilik Kampong Bharu: AMK

Syed Badli Shah mengulas kenyataan Annuar yang menegaskan penawaran pampasan berjumlah RM1,000 sekaki persegi kepada pemilik tanah di Kampong Bharu tidak dapat diteruskan kerana hanya 61 peratus penduduk bersetuju.
Syed Badli Shah mengulas kenyataan Annuar yang menegaskan penawaran pampasan berjumlah RM1,000 sekaki persegi kepada pemilik tanah di Kampong Bharu tidak dapat diteruskan kerana hanya 61 peratus penduduk bersetuju.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa digesa mendedahkan data sebenar pemilik tanah Kampong Bharu yang menghantar maklum balas kepada kerajaan berkenaan tawaran pembangunan semula kawasan itu bagi mengelakkan sebarang keraguan.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman berkata, ini kerana data terakhir Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) sebelum kerajaan bertukar tangan pada Mac 2020 menunjukkan hanya sekitar 31 peratus iaitu 1,571 daripada keseluruhan 5,359 pemilik berdaftar menghantar borang maklum balas kepada perbadanan itu.

Menurutnya, daripada jumlah itu juga seramai 1,499 pemilik telah menyatakan persetujuan untuk membangunkan tanah mereka manakala 72 pemilik lagi tidak bersetuju.

"Seramai 2,856 pemilik lagi gagal dikesan iaitu sekitar 53 peratus menjadikan jumlah seramai 3,788 pemilik gagal memberikan maklum balas.

"Apabila Annuar mengatakan kononnya lebih 60 peratus tidak bersetuju, timbul beberapa keraguan berapa ramai jumlah terkini pemilik berjaya dikesan dan berapa ramai pula sudah menghantar maklum balas?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Annuar sebelum ini menegaskan penawaran pampasan berjumlah RM1,000 sekaki persegi kepada pemilik tanah di Kampong Bharu tidak dapat diteruskan kerana hanya 61 peratus penduduk bersetuju terhadapnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kampong Bharu: Tiada belian RM1,000 bagi satu kaki persegi

Annuar turut berkata, kaedah itu tidak dapat diteruskan kerana tiada sumber pembiayaan keseluruhannya bernilai RM7 bilion daripada Perbendaharaan bagi menampung jumlah bayaran berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan perangkaan pendekatan pembangunan baharu untuk tempoh 20 tahun akan datang sebagaimana yang ditetapkan dalam Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040.

Terdahulu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini, Khalid Samad mahu membangunkan semula Kampong Bharu membabitkan pengambilan tanah dari lebih 5,300 pemilik dengan harga RM1,000 untuk satu kaki persegi iaitu RM850 tunai dan RM150 saham syarikat bertujuan khas (SPV).

Syed Badli yang juga bekas Ahli Majlis Penasihat PKB berkata, bagi membenarkan jawapan Annuar kononnya 60 peratus pemilik tidak bersetuju bermaksud sekitar 3,215 telah menyatakan penolakan terhadap pembangunan.

Menurutnya, angka itu sekali gus menunjukkan jumlah penduduk memberikan maklum balas sekitar 4,714 atau sebanyak 87 peratus.

"Adakah benar 87 peratus dari jumlah 5,359 telah memberikan maklum balas sedangkan data pada bulan Mac menunjukkan seramai 53 peratus masih gagal dikesan?

"Bagi saya, Annuar sebenarnya tidak perlu menjadikan alasan kononnya lebih 60 peratus pemilik tidak bersetuju sebagai sebab kononnya pembangunan tidak dapat diteruskan di Kampong Bharu.

"Saya yakin Annuar sebenarnya telah gagal merancang sebarang pembangunan ke kawasan itu," katanya.