BN tak akan menang tanpa sokongan Pas: Penganalisis

No Image Caption
A
A
A

TANAH RATA - BN tidak boleh berbangga dengan kemenangan pada PRK Parlimen Cameron Highlands hari ini kerana kejayaan itu tidak akan dicapai tanpa sokongan daripada pengundi Pas.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, penyokong Pas merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan majoriti BN di Parlimen Cameron Highlands jika dibandingkan pada PRU14, Mei tahun lalu.

Pas yang pada kali ini tidak bertanding, mendapat 3,587 undi menerusi calonnya, Wan Mahadir Wan Mahmud, pada PRU14 lepas.

"Pada PRU lepas undi berpecah kerana pertandingan pelbagai penjuru melibatkan BN, Pas, PH, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Berjasa," kata pensyarah kanan Universiti Malaya itu ketika dihubungi di sini, malam tadi.

No Image Caption

Pada PRK Parlimen Cameron Highlands ini, calon BN, Ramli Mohd Nor, mendapat 12,038 undi untuk mengalahkan wakil PH, M. Manogaran (8,800 undi), dan serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Ramli, bekas pegawai polis, mencipta sejarah apabila menjadi wakil tunggal masyarakat Orang Asli yang bakal mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan mengisi satu slot kerusi di Dewan Rakyat.

Majoriti yang diraih Ramli iaitu 3,238 undi meningkat berbanding 597 undi yang diperoleh calon BN, Datuk C. Sivarraajh pada PRU14.

Artikel Berkaitan:

Awang Azman juga berkata, keputusan ini tidak menghairankan kerana seperti kebiasaan, parti penyandang akan dapat mempertahankan kubu kuatnya.

Ini seperti mana juga empat PRK sebelum ini yang dimenangi PH. PH dilihat perlu bekerja lebih kuat di kawasan kubu BN, lagipun mereka taklah sepopular ketika menjelang PRU 2014," katanya merujuk kepada PRK Dun Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia di SElangor dan Parlimen Port Dickson.

Sementara itu, pensyarah kanan Hal Ehwal Politik dan Antarbangsa Univerisiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, PH perlu melihat keputusan itu secara rasional termasuk menambahbaik pengurusan pentadbiran di peringkat kerajaan Pusat.

"Kerajaan perlu berusaha menambah baik banyak perkara termasuk Felda. Jangan melihat mereka (peneroka Felda) sebagai musuh," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemenangan pada PRK ini menunjukkan kerjasama antara Umno dan Pas telah membuahkan hasil.

Beliau, yang kini menjalankan tugas-tugas presiden Umno berkata, pertolongan Pas pada PRK ini telah menarik pengundi Pas pada PRU14 lepas untuk memberikan kepercayaan kepada BN.

Kemenangan kali ini amat bermakna kerana BN menang dengan majoriti 3,238 undi berbanding majoriti 597 undi pada PRU14 lepas, katanya.

Mohamad juga berkata, kemenangan pertama BN selepas tewas dalam empat PRK sebelum ini akan dijadikan pembakar semangat untuk menghadapi PRK Dun Semenyih di Selangor pada 2 Mac ini. - Bernama