59 pelanggan karaoke RM2 dikompaun ingkar PKPP

ADZLI ABU SHAH
ADZLI ABU SHAH
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 59 pelanggan karaoke di sebuah kedai makan di Bukit Selambau dikompaun kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua mereka terdiri daripada 35 lelaki dan 24 wanita tempatan didapati berada di dalam kedai terbabit ketika serbuan dilakukan dalam kawasan Bukit Selambau Estate kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan didapati pelanggan sedang leka mendengar muzik tanpa mematuhi penjarakan fizikal.

"Turut ditahan, seorang lelaki berusia 37 tahun yang disyaki penjaga premis kerana gagal mengemukakan sebarang lesen hiburan yang sah.

"Kita juga menahan dua pelanggan wanita terdiri daripada warga Indonesia berusia 32 dan 35 tahun serta seorang pelanggan wanita warga Thailand berusia 35 tahun kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati operasi kedai makan terbabit menyediakan perkhidmatan karaoke dengan bayaran hanya RM2 bagi satu lagu kepada pelanggannya.

Katanya, 59 pelanggan tempatan, penjaga premis dan tiga warga asing dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

Polis turut merampas sebuah televisyen, sebuah monitor, mikrofon, pembesar suara, beberapa peralatan lain dan wang tunai berjumlah RM40.

Artikel Berkaitan:

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997, Seksyen 270 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.