PH perlu belajar daripada PRK Slim

No Image Caption
A
A
A

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim telah selesai. Saya mengucapkan tahniah kepada pemenang, mereka yang bertanding dan pengundi kawasan kerana berjaya meraikan pesta demokrasi.

Cuma, hasilnya bukanlah seperti yang kami mahukan, selaku pasukan pembangkang Malaysia. Kesalahan tidak boleh diletakkan semata-mata pada calon yang bertanding. Beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk menghadapi peperangan dengan kebarangkalian menang yang rendah.

Namun, PRK Slim adalah mesej bagi semua parti pembangkang Malaysia – terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) – untuk secara serius bermuhasabah dan bersama, terutama dari segi strategi dan pendekatan.

Kita tidak dapat dinafikan bahawa calon Bebas yang disokong oleh pembangkang mampu dikalahkan oleh parti yang pemimpinnya menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah dan merupakan sebahagian daripada pemerintahan ‘pintu belakang’ yang semakin rapuh dan tidak stabil.

Calon yang dipilih oleh parti Pejuang, pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan setakat dikalahkan, tetapi dengan majoriti lima kali lebih tinggi daripada tahun 2018 (iaitu 10,945 undi berbanding 2,183) di kerusi yang pengundinya hampir 75 peratus orang Melayu.

Keadaan ini berlaku dalam keadaan terdapat dakwaan oleh beberapa ahli politik PH dan penganalisis politik tentang kehadiran Dr Mahathir sangat diperlukan untuk memujuk orang Melayu dan pengundi lain. Kumpulan ini percaya hanya Dr Mahathir yang boleh meyakinkan orang Melayu.

Apa yang lebih membimbangkan bagi pembangkang ialah calon Barisan Nasional (BN) memperoleh 13,060 undi, iaitu lebih banyak daripada gabungan jumlah undi UMNO dan Pas pada tahun 2018 (12,430). Lebih-lebih lagi, BN dilaporkan menang di semua tempat mengundi di Slim – termasuk di kawasan bukan Melayu.

Calon Pejuang hanya mendapat 2,115 undi berbanding 6,144 Bersatu pada tahun 2018 (ketika masih bersama PH). Ini menunjukkan bahawa sejumlah besar penyokong yang berpihak kepada pembangkang tidak mengundi atau beralih sokongan.

Artikel Berkaitan:

Faktor

Pengundi mungkin terpengaruh oleh faktor tempatan yang lain. Namun hakikatnya Pejuang menjalankan kempen yang sebahagian besarnya tidak mempunyai isu atau mesej, dan mengharapkan pengundi menyokong mereka hanya kerana siapa mereka dan siapa ketua mereka. Ini adalah resipi yang mengundang bencana.

Apabila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tiba, PH tentunya tidak boleh berkempen dengan kempen yang sama seperti skandal 1MDB, isu-isu yang dihadapi oleh kerajaan PH 2018-2020 ataupun Langkah Sheraton.

Bukanlah perkara-perkara ini sudah tidak relevan, tetapi ia tidak boleh menjadi kempen tunggal. PH tidak boleh bekerjasama dengan pihak lain yang tidak dapat melihat atau memahami perkara-perkara ini.

No Image Caption

‘Kleptokrat’, ‘kerajaan pintu belakang’ dan ‘pengkhianat’ tidak akan menjadi slogan untuk memenangkan kita pada PRU15.

Hakikatnya Pejuang tidak memberikan mesej ekonomi yang menarik pengundi Slim. Parti itu tidak dapat meyakinkan mereka bahawa taraf hidup dan ekonomi mereka akan bertambah baik jika calon mereka dipilih. Tidak ada visi, tidak ada harapan atau janji untuk masa hadapan. Sebab itulah calon Pejuang kalah. Inilah kesalahan yang mesti dielakkan oleh PH dalam pilihan raya akan datang.

Tentu saja, kita tidak perlu mengelakkan daripada memberi peringatan kepada rakyat tentang penyalahgunaan dan kekurangan legitimasi kerajaan hari ini. Namun ia tidak boleh hanya diungkapkan tanpa adanya rancangan untuk memperbaiki prospek ekonomi rakyat Malaysia, terutamanya memandangkan wabak Covid-19 yang dahsyat. Kekalahan berat di Slim boleh menjadi titik tolak bagi PH – tetapi hanya jika kita mendapat pelajaran yang tepat daripada kekalahan ini.

* Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN dan Ahli Parlimen Setiawangsa