Nelayan tak berani redah gelombang besar

Taha melihat pekerjanya bersiap sedia untuk keluar menangkap ikan.
Taha melihat pekerjanya bersiap sedia untuk keluar menangkap ikan.
A
A
A

DUNGUN - Walaupun laut kelihatan tenang tetapi musim sekarang masih berbahaya dan berisiko kepada nelayan.

Nelayan khususnya pemilik bot fiber terpaksa berehat dan sebahagiannya mencari pekerjaan alternatif lain untuk menyara kehidupan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Daerah Dungun, Alauddin Ali berkata, boleh dikatakan 95 peratus nelayan di daerah ini tidak dapat ke laut pada masa sekarang yang masih berada dalam musim tengkujuh.

Bot fiber terpaksa direhatkan walaupun cuaca kelihatan tenang.
Bot fiber terpaksa direhatkan walaupun cuaca kelihatan tenang.

Menurutnya, hanya sebahagian kecil khususnya nelayan bot besar yang berani meredah gelombang untuk mendapatkan bekalan hasil laut kepada pelanggan.

“Walaupun dari daratan kelihatan laut tenang tetapi musim sekarang gelombangnya masih besar.

“Memang nelayan bot fiber tidak berani kerana hanya menempah maut jika tetap keluar menangkap ikan.

“Keadaan begini akan berterusan sehingga Mac atau selepas raya Cina dan mungkin juga sehingga ke April,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Hampir 2000kilogram ikan mampu dinaikkan bot besar setiap kali turun ke laut.
Hampir 2000kilogram ikan mampu dinaikkan bot besar setiap kali turun ke laut.

Jelasnya, walaupun tiada sumber pendapatan, nelayan terpaksa reda dan memang sudah menjadi kebiasaan keadaan ini dihadapi mereka.

“Ada sebahagiannya membuat kerja sampingan dan selebihnya terpaksa menunggu keadaan cuaca kembali normal.

“Kebanyakkan nelayan juga tidak mahir dalam pekerjaan lain dan hanya menunggu sehinggalah keadaan laut tidak lagi berbahaya,”katanya.

Hasil tangkapan udang berkurangan disebabkan pelbagai faktor.
Hasil tangkapan udang berkurangan disebabkan pelbagai faktor.

Hasil udang berkurangan

Alauddin berkata, situasi sekarang juga dikatakan sebagai musim udang tetapi bekalan yang ada kurang memberangsangkan tahun ini.

“Nelayan pukat tunda yang memburu udang tetapi tahun ini tidak ramai yang ke laut.

“Hasilnya juga kurang memberangsangkan jika dibandingkan dengan tahun lepas disebabkan pelbagai faktor termasuk aktiviti mengorek pasir menyebabkan hasil udang berkurangan,”katanya.

Hanya bot besar yang boleh keluar menangkap ikan ketika musim tengkujuh.
Hanya bot besar yang boleh keluar menangkap ikan ketika musim tengkujuh.

Bot besar berani turun laut

Sementara itu, Tekong bot besar, Taha Mohd Amin, 63 berkata, bot seberat 35 tan berperanan mendapatkan bekalan ikan di laut untuk memenuhi keperluan pelanggan.

Menurutnya, walaupun kurang berisiko tetapi jika berlaku gelombang besar di tengah laut, anak-anak buah yang bekerja tetap berisiko gadai nyawa.

“Kalau angin kuat tak pergi juga tetapi kalau tengah laut tiba-tiba angin kuat terpaksa redah dan mengharung bahaya.

“Sekali turun, nelayan akan pulang dalam tempoh tiga atau empat hari.

“Mereka menangkap ikan dengan cara memancing dengan kekuatan tujuh hingga lapan orang,” katanya.

Katanya, sekali mendarat anak buahnya akan membawa naik hasil tangkapan lebih kurang 1,800 kilogram ikan.

“Walaupun tidak ramai nelayan dapat turun ke laut pada musim ini, keuntungan diperoleh tidaklah berganda.

“Harga ikan segar memang lagi tinggi sekarang dan bolehlah kita kaut keuntungan lebih sikit,” katanya.