Kerajaan bawa pulang hampir 2,000 rakyat Malaysia di Thailand

No Image Caption
A
A
A

BANGKOK - Kerajaan Malaysia telah membantu hampir 2,000 rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand pulang ke tanah air menerusi jalan darat, udara dan laut sejak pintu masuk negara di sempadan Malaysia-Thailand ditutup pada 3 April lepas.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, hubungan rapat antara pemimpin kedua-dua negara telah memudahkan usaha kedutaan membantu rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air, dan sehingga kini 1,965 warganegara Malaysia telah diberikan kebenaran khas untuk melintasi sempadan dan selamat pulang ke Malaysia.

“Dianggarkan kira-kira 50 hingga 80 lagi rakyat Malaysia mahu pulang ke Malaysia melalui jalan darat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Hari Kemerdekaan di kedutaan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi rakyat Malaysia yang mahu pulang ke tanah air, permohonan akan dikemukakan kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, kemudian ke Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri Thailand serta pejabat gabenor di lima wilayah di mana pintu sempadan akan dibuka, dan menurutnya proses membawa mereka pulang ke tanah air akan mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 hari.

“Selepas mendapat kebenaran, rakyat Malaysia hanya dibenarkan merentas sempadan untuk pulang ke tanah air,” katanya.

Jojie berkata, kini terdapat penerbangan khas pada setiap hari Rabu bagi membolehkan rakyat Malaysia pulang ke tanah air.

Sejak 3 April lepas, Thailand menyekat penerbangan komersial antarabangsa sebagai salah satu usaha bagi membendung penularan Covid-19, dan mulai 1 Julai, 11 kumpulan penumpang termasuk pemastautin tetap, pasangan dan anak kepada pemegang pas kerja, warga asing yang berkahwin dengan rakyat Thai dan warga asing yang ingin mendapatkan rawatan di negara itu, dibenarkan masuk. -Bernama

Artikel Berkaitan: