Lima lelaki ditahan berlumba haram

Lima kereta dipercayai digunakan lima lelaki dalam perlumbaan haram dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.
Lima kereta dipercayai digunakan lima lelaki dalam perlumbaan haram dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Keghairahan lima lelaki ‘meraikan’ Hari Kemerdekaan ke-63 dengan berlumba kereta secara haram mengundang padah apabila ditahan polis di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini awal pagi tadi.

Lelaki berusia antara 22 hingga 24 tahun itu ditahan dalam Operasi Ambang Merdeka pada jam 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, hasil ujian awal urin mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis benzodiazepine.

Katanya, pada operasi berkenaan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kota Bharu melakukan pemantauan di lampu isyarat Lundang dan melihat lima kereta memecut mencelah kenderaan lain.

“Mereka memotong secara' zig zag' serta membuat pusingan U antara lampu isyarat Lundang dan Taman Maju.

"Aksi diteruskan secara berulang-alik sehingga selesai berlumba dan polis kemudian menahan kesemua mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pemeriksaan dilakukan anggota polis pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 di Lundang awal pagi tadi.
Pemeriksaan dilakukan anggota polis pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 di Lundang awal pagi tadi.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai memandu secara melulu dan berbahaya sambil membunyikan ekzos dengan kuat.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Seorang daripada mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Tambah beliau, sejumlah 109 kenderaan membabitkan 114 individu diperiksa dan sebanyak 112 saman telah dikeluarkan.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rahim berkata, tiga remaja yang melakukan aksi ‘wheelie’ ditahan pada Op Samseng malam tadi.

“Mereka yang berusia 16, 17 dan 18 tahun itu ditahan antara jam 2 dan 3 pagi di dua lokasi berasingan di Bulatan Chempaka dan Jalan Sultan Yahya Petra.

“Mereka melakukan aksi ‘wheelie’ sambil menundukkan kepala dan bersaing antara satu sama lain serta mencelah antara kenderaan.

“Aksi yang dilakukan bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain. Hasil ujian urin mereka didapati negatif,” katanya.