Rakyat harus bertanggungjawab jaga diri

Tuanku diiringi Tung Seang (kiri) mengayuh basikal sejauh 18 km sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di Georgetown, hari ini.
Tuanku diiringi Tung Seang (kiri) mengayuh basikal sejauh 18 km sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di Georgetown, hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Rakyat Malaysia diminta terus bertanggungjawab menjaga diri ketika dunia masih lagi dalam wabak koronavirus (Covid-19).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, rakyat juga perlu menyemai semangat patriotisme yang tinggi supaya lebih menyayangi negara ini.

Baginda bertitah, negara kini aman kerana hasil kerja keras pemimpin terdahulu dan wira negara bagi memastikan rakyat terus selesa dalam negara harmoni.

"Jasa pahlawan dan wira negara amat bernilai dan tidak terbalas oleh kita semua," titah baginda selepas berkenan menyempurnakan kayuhan basikal sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-63, di sini hari ini.

Kayuhan tersebut merupakan inisiatif baginda yang sentiasa komited berkayuh pada 31 Ogos setiap tahun bagi menyemai semangat patriotisme dan mewarnai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan di samping mengenang jasa pahlawan dan wira negara.

Lazimnya sejak tahun 2014, baginda diiringi ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri serta pihak swasta di Perlis dalam kayuhan sekitar selatan Thailand dan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang kayuhan di sana bagi menunjukkan semangat kebanggaan patriotisme.

Tuanku memilih Pulau Pinang untuk mengayuh basikal sempena Hari Kebangsaan tahun ini.
Tuanku memilih Pulau Pinang untuk mengayuh basikal sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

Bagaimanapun, susulan negara sedang menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selain sempadan negara masih ditutup, baginda berkenan memilih Pulau Pinang bagi menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Kayuhan sejauh 18 kilometer (km) itu bermula dari Bangunan Bandaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) di Padang Kota hingga ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Kayuhan itu melalui laluan basikal sepanjang jalan di samping Jalur Gemilang dikibarkan.

Kayuhan tersebut turut ditujukan kepada petugas barisan hadapan yang bertindak sebagai wira negara menjaga negara.

Tuanku turut berkenan menyempurnakan simbolik penanaman pokok ‘Sea Hibiscus’ di GSD Cycling Park, Queensbay sebagai kenangan keberangkatan baginda.

Baginda turut melawat perkampungan Cina di Jeti Lee dan Pulau Jerejak selain beramah mesra dengan penduduk sekitar.

Turut mengiringi baginda ialah Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan.

Untuk rekod, antara kayuhan sempena kemerdekaan baginda sebelum ini adalah di Padang Besar-Hat Yai (2014), Satun (2015), Songkhla (2017), Pakbara (2018) dan Chana (2019).