Reformasi cukai, penguatkuasaan bersepadu perangi penyeludup licik

Pelbagai cara dilakukan penjenayah untuk menyeludup rokok. Gambar kecil: Rohan Pike
Pelbagai cara dilakukan penjenayah untuk menyeludup rokok. Gambar kecil: Rohan Pike
A
A
A

MELBOURNE – Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa dan Pasukan Bertindak Terhadap Tembakau Haram, Pasukan Sempadan Australia mendapati pelaku-pelaku pasaran gelap kini semakin kreatif dalam cubaan mereka mengaburi mata agensi penguatkuasaan di seluruh rantau ini, lebih-lebih lagi ketika pandemik koronavirus (Covid-19).

Juruperunding agensi itu, Rohan Pike berkata, penutupan sempadan, prosedur ketat pusat pemeriksaan keselamatan dan rondaan aktif di dalam negara di seluruh Asia Tenggara disebabkan Covid-19 telah mendorong sindiket pasaran gelap, terutama pasaran rokok seludup yang cukup menguntungkan, untuk mencari idea di luar kotak untuk melakukan kegiatan jenayah mereka.

Pike yang juga penasihat mengenai perdagangan haram kepada Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan (RTBA) berkata, antara kaedah kreatif yang dibongkar oleh pihak berkuasa baru-baru ini termasuk penggunaan dron berteknologi tinggi, perkhidmatan e-hailing dan penggunaan bongkah ais di dalam sungai.

"Di mana ada usaha, di situ ada cara. Pada awal Julai 2020, pihak berkuasa New Zealand telah menemukan dua juta batang rokok seludup yang disorok dalam kerangka logam bagi sambungan bumbung.

“Kesungguhan sindiket jenayah ini telah mengakibatkan peningkatan pasaran gelap rokok di Asia Tenggara, terutama Malaysia dan Australia, di mana cukai rokok adalah tinggi,” kata Pike.

Laporan 'Rokok seludup di rantau Asia Pasifik: Punca-punca dan Penyelesaian' menyatakan bahawa daripada RM25.3 bilion jumlah kerugian kutipan cukai di keseluruhan 19 pasaran yang dipantau di rantau ini pada 2017, hampir separuh daripadanya berlaku di kedua-dua negara tersebut.

No Image Caption

Sementara Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr Madeline Berma dalam Wacana Sinar Harian Siri 188 bertajuk 'Sempadan bolos: Antara penguatkuasaan dan kesan ekonomi' berkata, negara mengalami kerugian sumber pendapatan yang besar sekiranya isu penyeludupan tidak ditangani dengan sebaiknya.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, laporan 'Rokok Seludup di Australia’ 2019 oleh KPMG, yang diterbitkan pada Mei 2020 mendedahkan bahawa penggunaan rokok seludup di Australia telah bertambah daripada 14.1 peratus daripada segi jualan pada tahun 2018 menjadi 20.7 peratus pada Mei 2020.

Laporan itu turut mendapati bahawa kenaikan cukai yang kerap seolah-olah tidak berjaya mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat Austalia tetapi sebaliknya menjadi alat pemasaran tidak langsung pula bagi pasaran rokok seludup yang dijual dengan harga yang lebih murah.

Memetik kenyataan bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, bila cukai rokok tinggi, harga rokok juga jadi mahal menyebabkan jualan rokok bercukai merosot dan kutipan cukai juga merosot tetapi kegiatan menyeludup pula tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

"Bila harga rokok mahal, wujud permintaan tinggi untuk seludup dan mendorong penyeludup membawa masuknya kerana jualan rokok seludup meningkat," katanya.

Menurut Pike, adalah jelas, dorongan utama bagi sindiket pasaran gelap rokok untuk mengabui mata pihak berkuasa ialah jurang harga antara rokok seludup murah dengan rokok sah yang dijual dengan harga cukai yang tinggi.

Prosedur ketat pusat pemeriksaan keselamatan dan rondaan aktif di dalam negara disebabkan Covid-19 telah mendorong sindiket pasaran gelap untuk mencari idea di luar kotak untuk melakukan kegiatan jenayah mereka.
Prosedur ketat pusat pemeriksaan keselamatan dan rondaan aktif di dalam negara disebabkan Covid-19 telah mendorong sindiket pasaran gelap untuk mencari idea di luar kotak untuk melakukan kegiatan jenayah mereka.

“Untuk negara-negara seperti Malaysia dan Australia menangani permasalahan ini dengan pantas dan berkesan, kerajaan mesti mengambil langkah berani untuk mengkaji semula struktur cukai eksais. Malah, Pakatan Pembayar Cukai Australia baru-baru ini telah meminta supaya dikaji lebih mendalam cukai rokok yang tinggi kerana ketika penjualan rokok sah mencatat penurunan, jumlah keseluruhan jualan kekal di tahap yang sama,” tambah beliau.

Beliau berkata, agensi-agensi penguatkuasaan di seluruh rantau Asia Pasifik mesti bekerjasama bagi membentuk sebuah pasukan petugas khas yang boleh berkongsi maklumat perisikan dan sumber-sumber untuk berdepan dengan penjenayah yang semakin kreatif ini.

“Krisis Covid-19 dijangka menyebabkan peningkatkan di dalam penggunaan barangan pasaran gelap kerana ketidaktentuan pekerjaan dan pendapatan. Kerajaan yang terlibat mesti mengambil langkah segera daripada sudut penggubalan dasar dan penguatkuasaan bagi melindungi ekonomi mereka,” kata Pike.