Patriotisme dalam wau puyuh

Wan Roslan (kiri) melihat wau Jalur Gemilang gergasi yang dihasilkan Muhammad Nor Akraminuddin (dua dari kiri) bersama tiga saudaranya dalam tempoh seminggu sebelum sambutan kemerdekaan di Pantai Geting, Tumpat hari ini.
Wan Roslan (kiri) melihat wau Jalur Gemilang gergasi yang dihasilkan Muhammad Nor Akraminuddin (dua dari kiri) bersama tiga saudaranya dalam tempoh seminggu sebelum sambutan kemerdekaan di Pantai Geting, Tumpat hari ini.
A
A
A

TUMPAT - Menerapkan nilai patriotisme melalui seni budaya dengan menghasilkan wau Jalur Gemilang gergasi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 peringkat daerah Tumpat di Pantai Geting, di sini hari ini.

Wau puyuh bersaiz lima meter tinggi dan lapan meter lebar dihasilkan oleh Muhammad Nor Akraminuddin Mohd Razihan, 29, yang berasal dari Telaga Bata, Sering, Kota Bharu.

Beliau yang juga guru Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kosas, Ampang, Selangor berkata, wau disiapkan dengan bantuan tiga saudaranya dalam tempoh seminggu dengan kos RM200.

“Bahan yang digunakan terdiri daripada buluh bagi membentuk kerangka wau, plastik empat warna bendera Malaysia iaitu merah, kuning, biru dan putih serta cat.

“Wau Jalur Gemilang yang dihasilkan bertujuan memupuk semangat patriotisme terutama dalam kalangan anak muda melalui penghargaan terhadap warisan dan seni budaya negeri Kelantan,” katanya ketika ditemui pada Program Kembara Merdeka Anak Muda Tumpat 2020, di sini hari ini.

Pelekat corak virus Covid-19 yang ditampal pada wau puyuh turut dibawa untuk dipamerkan serta dipertandingkan dalam Acara Layangan Merdeka pada Program Kembara Merdeka Anak Muda Tumpat 2020 di Pantai Geting, Tumpat hari ini.
Pelekat corak virus Covid-19 yang ditampal pada wau puyuh turut dibawa untuk dipamerkan serta dipertandingkan dalam Acara Layangan Merdeka pada Program Kembara Merdeka Anak Muda Tumpat 2020 di Pantai Geting, Tumpat hari ini.

Kata beliau, wau berkenaan turut dibawa menyertai Pertandingan Layangan Merdeka bagi kategori wau cantik, wau besar dan wau merdeka serta akan diterbangkan di Pantai Geting pada petang ini bergantung kepada keadaan cuaca serta tiupan arah angin.

“Wau ini mempunyai berat hampir 100 kilogram jadi memerlukan kira-kira 15 orang untuk menerbangkannya iaitu 10 orang akan tarik tali manakala lima lagi akan melancarkannya ke udara.

Artikel Berkaitan:

“Proses ini memerlukan angin yang bertiup kuat barulah wau mampu terbang dan wau jenis ini (puyuh) amat digemari kerana mengeluarkan bunyi berlagu yang garang serta iramanya menarik perhatian,” katanya.

Tambah beliau, kemahiran menghasilkan pelbagai jenis wau diwarisi sejak kecil daripada arwah datuk dan dijadikan pendapatan sampingan ketika musim cuti persekolahan serta semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Harga wau yang dijual kepada pelanggan bergantung kepada saiz dan corak bermula serendah RM150 sehingga RM500, malahan wau gergasi Jalur Gemilang itu sudahpun ada yang meminta untuk membelinya.

Tarikh sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 turut dicatatkan pada wau bendera yang dihasilkan Muhammad Nor Akraminuddin dari Kampung Telaga Bata, Sering, Kota Bharu.
Tarikh sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 turut dicatatkan pada wau bendera yang dihasilkan Muhammad Nor Akraminuddin dari Kampung Telaga Bata, Sering, Kota Bharu.

“Saya juga menghasilkan wau bercorak koronavirus (Covid-19) dengan menampal pelekat virus pandemik itu yang turut dipertandingkan bersama dua lagi wau lain jenis batik dan bendera pada pertandingan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO), Wan Roslan Wan Hamat ketika merasmikan program berkata, seramai 300 peserta dalam kalangan belia dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menyertainya.

“Sambutan diadakan secara kecil-kecilan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menyantuni anak muda yang berjiwa Merdeka.

“Kelompok mereka adalah pelapis kepimpinan yang perlu dididik supaya kekal memiliki jati diri dan tidak sewenang-wenangnya terpengaruh dengan anasir luar yang cuba mengganggu-gugat kedaulatan negara,” katanya.