B40 Kerian disaran rebut peluang miliki rumah LPHP

Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim
Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim
A
A
A

PARIT BUNTAR - Mana-mana penduduk daerah Kerian berpendapatan rendah (B40) disarankan mengambil peluang memiliki rumah sendiri melalui projek perumahan awam dilaksanakan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) di Kuala Bagan Tiang, di sini.

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, kesemua penduduk berkelayakan perlu segera mendaftarkan permohonan dengan LPHP supaya Kerajaan Perak dapat membuat pemilihan tepat kepada pemohon yang lebih layak.

“Terdapat sebuah projek perumahan awam sedang dilaksanakan LPHP di Kuala Bagan Tiang dan perlaksanaan kerja tanah sudah disiapkan. Ketika ini, LPHP masih dalam proses perundingan cara pembinaan rumah sama ada hendak membina reka bentuk rumah teres atau rumah bandar.

“Perbincangan reka bentuk ini penting bagi memastikan lebih ramai rakyat memerlukan dapat memiliki rumah sendiri,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Hasnul Zulkarnain berkata, namun kerajaan negeri masih belum memutuskan jumlah sebenar unit perumahan yang akan dibina di kawasan terbabit dan kawasan projek itu turut difahamkan berhadapan masalah tekanan air rendah.

“Jadi, mungkin Lembaga Air Perak (LAP) perlu membuat kajian keperluan membina tangki air khas bagi menampung bekalan air kepada penduduk yang bakal tinggal di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain turut berjanji akan meneliti semula status Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang pernah dirancang untuk dibina di Dun Titi Serong.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya tidak menolak kemungkinan projek itu merupakan salah satu daripada 240 projek kerajaan di seluruh negara yang berada dalam pemerhatian Kementerian Kewangan.

Artikel Berkaitan:

“Isu beberapa projek kerajaan di Perak tergantung pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco termasuk beberapa projek PPA1M. Projek ini adalah kerjasama swasta dengan kerajaan BN terdahulu. Mereka tidak menyempurnakannya kerana Kementerian Kewangan meneliti semula kos sebenar projek.

“Kementerian turut mengarahkan perlaksanaan pemotongan 10 peratus daripada nilai kontrak projek bagi mengelakkan ketirisan dan saya fikir perkara itu menjadi faktor projek PPA1M di Titi Serong terpaksa ditangguhkan,” katanya.