Agong perkenan kurnia pembebasan awal kepada 13 banduan

Al-Sultan Abdullah berkenan mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan di beberapa penjara di Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, banduan tersebut telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat pada 28 Disember 2001 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas pertuduhan menurut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana berperang atau cuba berperang atau menyubahati berperang melawan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri.

"Perkenan Al-Sultan Abdullah ini dibuat menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan susulan nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Kesemua 13 banduan yang dihukum menjalani hukuman penjara sepanjang hayat sejak 2001 ini telah membuat rayuan pengampunan terhadap hukuman tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah, atas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam mesyuarat ke-55 yang bersidang pada 4 September tahun lepas telah bertitah perkenan untuk 13 banduan tersebut dibebaskan pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

Susulan mesyuarat itu, Al-Sultan Abdullah atas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam mesyuarat ke-56 yang bersidang pada 24 Julai 2020, telah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan tersebut, berkuat kuasa pada Ogos 2020.

Ahmad Fadil berkata, perkenan pembebasan awal itu bertujuan memberi peluang kepada mereka yang menunjukkan kelakuan baik untuk kembali ke pangkuan masyarakat serta kehidupan normal dan menjadi insan yang lebih baik

"Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar kesemua 13 banduan mengenang kembali kesilapan terus memohon keampunan dan menilai sejauh mana hubungan mereka dengan Tuhan dan keluarga serta masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar mereka menjalani kehidupan yang baharu bersama keluarga tersayang dan masyarakat secara berfaedah dan masing-masing memainkan peranan sebagai rakyat yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara, katanya. - Bernama