21 individu dikuarantin dibenarkan pulang

Penolong Pegawai Kesihatan, Mohd Ruzaini Mohd Rosdi memotong gelang kuarantin yang dipakai Yeok Seang sebagai tanda berakhirnya tempoh kuarantin di Hotel Seri Malaysia hari ini.
Penolong Pegawai Kesihatan, Mohd Ruzaini Mohd Rosdi memotong gelang kuarantin yang dipakai Yeok Seang sebagai tanda berakhirnya tempoh kuarantin di Hotel Seri Malaysia hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 21 individu yang menjalani kuarantin di Hotel Seri Malaysia hari ini dibenarkan pulang selepas tamat tempoh kuarantin 14 hari yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awan Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, kesemua mereka juga didapati negatif koronavirus (Covid-19) selepas tiga kali menjalani ujian calitan.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, 14 individu merupakan warganegara dan kesemua mereka pulang dari Thailand melalui pintu masuk sempadan di Bukit Kayu Hitam.

"Alhamdulillah, mereka yang dikuarantin di sini memberi kerjasama kepada petugas dan kita tidak menerima sebarang aduan daripada penghuni yang dikuarantinkan," katanya ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-63 oleh warga Stesen Kuarantin Covid-19 di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, selain kumpulan yang dibenarkan pulang hari ini masih terdapat lagi 42 individu yang menjalani kuarantin di sini.

Awang Askandar (depan, tiga dari kiri) mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di Hotel Seri Malaysia hari ini.
Awang Askandar (depan, tiga dari kiri) mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di Hotel Seri Malaysia hari ini.

"Mereka akan dibenarkan pulang secara berperingkat selepas disahkan negatif melalui ujian calitan terakhir pada hari ke-13 tempoh kuarantin," katanya yang turut merakamkan penghargaan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 kepada petugas barisan hadapan di negeri ini.

Sementara itu, seorang usahawan, Tan Yeok Seang, 38, berkata, beliau sangat gembira apabila tamat kuarantin pada hari yang sama negara menyambut Hari Kemerdekaan.

Artikel Berkaitan:

"Ia kebebasan yang amat bermakna dan saya tidak sabar untuk pulang berjumpa anak-anak di Nibong Tebal, Pulau Pinang selepas hampir enam bulan tidak bersama mereka.

"Saya juga berterima kasih kepada semua petugas di sini atas layanan yang sangat baik, makan minum pun semua cukup," katanya.

Menurutnya, beliau berkunjung ke Thailand sejak Mac lalu atas urusan perniagaan.

"Kemudian kerajaan Thailand menutup pintu sempadan menyebabkan saya terkandas di sana sebelum dibenarkan pulang pada 18 Ogos lalu," katanya.