Duta dapat sokongan pegang jawatan Perdana Menteri Lubnan

Mustapha Adib
Mustapha Adib
A
A
A

BEIRUT - Ahli-ahli Parlimen Lubnan berfahaman Sunni semalam menyatakan sokongan ke atas duta negara itu ke Jerman, Mustapha Adib untuk memegang jawatan perdana menteri pada bulan depan.

Pemilihan mereka terhadap diplomat berusia 48 tahun itu dibuat sehari sebelum perundingan ahli Parlimen bermula bagi menamakan seorang perdana menteri baharu beberapa jam sebelum lawatan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Majoriti ahli Parlimen perlu memutuskan siapa yang dinamakan sebagai perdana menteri sebelum Presiden Lubnan, Michel Aoun memberikannya tugas bagi membentuk sebuah kerajaan baharu.

Pada kebiasaanya, proses mewujudkan kerajaan baharu itu akan mengambil masa selama beberapa bulan.

Sekumpulan bekas perdana menteri, termasuk tokoh politik Sunni, Saad Hariri mengumumkan mereka telah memutuskan Mustapha selepas mengkaji beberapa nama calon sama ada sesuai untuk memegang jawatan perdana menteri.

"Mesyuarat itu bersetuju menamakan Mustapha Adib sebagai perdana menteri," kata seorang bekas pemegang jawatan itu, Fouad Siniora dalam satu kenyataan selain menegaskan keperluan segera bagi membentuk kerajaan baharu.

Sebelum ini, kerajaan lama Lubnan diketuai oleh Hassan Diab bertindak meletakkan jawatan selepas berlaku satu letupan ammonium nitrat yang kuat di pelabuhan Beirut pada 4 Ogos lalu sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 188 orang terbunuh, ribuan cedera dan sebahagian kawasan mengalami kemusnahan. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: PM Lubnan akhirnya letak jawatan

Artikel Berkaitan: