Pak Wan tawan Banjaran Titiwangsa 11 jam

Pak Wan cipta rekod sendiri tawan Banjaran Titiwangsa dalam masa 11 jam kali ini.
Pak Wan cipta rekod sendiri tawan Banjaran Titiwangsa dalam masa 11 jam kali ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengayuh basikal solo, Wan Hashim Wan Mahmood mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menawan Banjaran Titiwangsa dalam misi kayuhan merdekanya yang bermula 8 Ogos lalu.

Pengayuh basikal veteran yang dikenali sebagai Pak Wan itu memberitahu bukan sahaja berjaya menamatkan kayuhan sejauh 2,318 kilometer yang mengambil masa selama 23 hari, bahkan mencipta rekodnya baharu apabila menawan banjaran Titiwangsa dengan hanya mengambil masa 11 jam berbanding lebih 24 jam sebelum ini.

Wan Hashim yang berusia 74 tahun berkata, semua itu dilakukan demi semangat kemerdekaan walaupun bukan mudah menghadapi cabaran kerana faktor usia.

"Memang penat kerana Pak Wan tidak berhenti dan mental perlu kuat. Pak Wan banyak motivasikan diri sepanjang kayuhan dalam keadaan mendaki Alhamdulilah Pak Wan berjaya.

"Pak Wan teringat kenangan kayuh basikal ketika berumur 14 tahun dulu. Itu pun untuk merdeka juga, Pak Wan nak tengok orang ramai melaungkan 'merdeka' di Kuala Lumpur.

"Masa itu cabaran yang dialami lebih banyak daripada sekarang tetapi Pak Wan boleh mampu tempuh," katanya.

Pak Wan (tengah) bergambar kenangan bersaa keluarga dan kakitangan Red One Kelantan setelah tiba di kediamannya di Telipot hari ini.
Pak Wan (tengah) bergambar kenangan bersaa keluarga dan kakitangan Red One Kelantan setelah tiba di kediamannya di Telipot hari ini.

Terdahulu, Wan Hashim tiba di kediamannya di Telipot hari ini dan disambut keluarganya serta wakil penaja, Pengurus Pemasaran Red One Kelantan, Danial Leoh.

Artikel Berkaitan:

Pak Wan turut berkongsi cerita bahawa pada awalnya keluarga tidak merestui perjalanan tersebut kerana bimbang jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, selepas memberi penjelasan keluarga akhirnya akur dan memberi sokongan penuh kepadanya.

"Pak Wan jelaskan bahawa Covid-19 dengan cabaran lain seperti kemalangan dan sebagainya semua sama sahaja. Selepas itu barulah mereka faham," katanya.

Mendapat anugerah keenam kali ini dalam The Malaysia Book of Records melibatkan kategori 'Olderst to cycle around peninsular Malaysia', Wan Hashim berkata, itu bukanlah yang dicari dalam setiap misi kayuhannya selama ini.

"Semangat setiap kayuhan yang membawa Pak Wan tiba ke sesebuah lokasi dengan selamat tanpa menghiraukan halangan dan cabaran yang terpaksa dilalui itu paling penting," katanya.