KRT semai semangat kesukarelaan

Burhanuddin (kiri) menziarahi penduduk warga emas di Tok Fakir.
Burhanuddin (kiri) menziarahi penduduk warga emas di Tok Fakir.
A
A
A

MARANG - Ahli komuniti pada hari ini dilihat agak kurang berminat untuk hidup bermasyarakat disebabkan faktor ekonomi serta kurang berkemahiran untuk hidup bermasyarakat.

Pengarah Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional (Perpaduan) Terengganu, Burhanuddin Daud berkata, orang ramai lebih suka untuk hidup menyendiri dengan gejet masing-masing

“Ini secara tidak langsung menyebabkan ramai tidak berminat melaksanakan kerja-kerja kesukarelawan dan ia boleh memberikan kesan negatif kepada komuniti itu sendiri seterusnya kepada negara.

“Komuniti mempunyai ikatan kemasyarakatan yang kuat mampu mengurangkan dan menghalang masalah sosial dan jenayah,” katanya kepada Sinar Harian di Majlis Program Cakna, Masyarakat Prihatin Geran Komuniti, di sini.

Ahli jawatankuasa KRT Tok Fakir dan penganjur bersama Burhanuddin (tengah).
Ahli jawatankuasa KRT Tok Fakir dan penganjur bersama Burhanuddin (tengah).

Hadir sama, Pegawai Pejabat Perpaduan Marang, Mimi Diana, Pegawai Parol Daerah Marang, Inspektor, Mohd Kamal Abdullah, wakil Pejabat Kesihatan Marang, Nadia Nasir dan MPKK Kampung Tok Fakir.

Majlis berkenaan dianjurkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tok Fakir bagi memupuk semangat gotong-royong untuk bersama-sama bagi memastikan kawasan kampung sentiasa di dalam keadaan bersih.

Lawatan ke rumah penduduk warga emas dan yang kurang bernasib baik juga diadakan pada program itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Burhanuddin berkata, melalui aktiviti itu juga ia dapat mengelakkan masalah denggi, kawasan terbiar dan tempat yang boleh menjadi punca masalah sosial di kampung berkenaan.

“Selain itu, ia juga bertujuan melahirkan rasa ikhlas dalam kalangan masyarakat untuk saling bantu membantu sesama mereka kurang bernasib yang ada di dalam komuniti di sini.

“Semoga lebih banyak aktiviti kemasyarakatan dapat dilaksanakan ahli jawatankuasa KRT di sini pada masa akan datang. Melakukan kerja-kerja kebajikan itu juga ibadah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KRT Tok Fakir, Mohd Rosly Abd Rasid berkata, aktiviti tersebut tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya tidak mendapat sokongan masyarakat.

“Kita juga berbesar hati apabila banyak pihak membantu menjayakannya termasuk Pejabat Kesihatan daerah, Jabatan Penjara Malaysia, Balai Polis Mercang selain pihak MPKK dan komuniti setempat,” katanya.