Cabaran penambahbaikan pendidikan Islam

Agama adalah kuasa positif untuk kebaikan dan kecemerlangan individu dan umat serta manusia umumnya. Cabaran adalah terletak di atas bahu setiap orang Islam. Gambar hiasan.
Agama adalah kuasa positif untuk kebaikan dan kecemerlangan individu dan umat serta manusia umumnya. Cabaran adalah terletak di atas bahu setiap orang Islam. Gambar hiasan.
A
A
A

PROSES dan usaha pembaikan merupakan usaha berterusan dalam menuju ke satu destinasi iaitu ke arah kecemerlangan.

Bangsa Jepun contohnya mengamalkan konsep Kaizen yang bermaksud pembaikan secara berterusan yang telah diberikan penjelasan yang amat teliti dan mendalam, dan disebarluaskan sehingga menjadi unsur budaya Jepun yang penting khususnya dalam bidang pengurusan dan penghasilan produk serta perkhidmatan.

Mungkin kita perlu mengambil falsafah itu untuk mewujudkan lonjakan pendidikan kita, umpamanya dengan membicarakan semula secara mendalam tentang konsep Al-Falah sebagai satu nilai tonggak dalam segala aspek kehidupan umat Islam.

Cabaran bagi penggubal dasar pendidikan Islam kini adalah untuk melihat semula akan konsep dan nilai-nilai keagamaan (Al-Din) dalam konteks gunaan atau terapan dan aplikasinya secara pragmatik, konkrit, berkesan dan menjadi inspirasi dalam semua bidang kehidupan.

Untuk tujuan itu, keseluruhan set nilai murni dan pengertian Al-Tasawwur Al-Islami atau Sarwajagat Islam perlulah dilihat dalam konteks hiraki, pertalian dan jaringan padat serta dinamik.

Pendidik haruslah mengenal pasti contoh-contoh nilai tonggak dalam amalan dan realiti kehidupan semasa umat Islam agar dapat dijanakan sebagai salah satu bentuk pemikiran kognitif aras tinggi

Proses perkembangan kurikulum adalah proses berterusan. Ilmu dan klasifikasinya adalah amat luas. Tidak mungkin segala bidang ilmu akan termaktub dalam kurikulum.

Bagaimanapun, proses pemilihan kandungan merupakan proses terpenting perkembangan kurikulum. Proses ini memerlukan kepakaran dalam bidang kandungan mata pelajaran tertentu serta pengetahuan luas dalam bidang ilmu-ilmu lain.

Artikel Berkaitan:

Hal itu berkait rapat dengan konsep merentas kurikulum. Yang menjadi asas merentas kurikulum ialah kandungan, corak pemikiran, tingkah laku, keterampilan, amalan hidup dan nilai.

Kaedah pengajaran, teknik mengajar, pedagogi, andragogi merupakan ciri-ciri keterampilan profesional seorang guru.

Profesionalisme keguruan adalah bersandarkan kepada ilmu yang dikuasainya dan aplikasi amalannya sendiri dalam konteks ilmunya itu.

Di samping itu, nilai penting dalam konteks ini juga ialah nilai positif, ufuk minda yang luas, pemikiran sejagat dan set minda positif, harga diri dan hormat diri, berwawasan dan mempunyai keyakinan diri, yang semuanya itu merupakan gambaran terbaik guru terhadap pelajarnya.

Pemikir

Agama adalah kuasa positif untuk kebaikan dan kecemerlangan individu dan umat serta manusia umumnya. Cabaran adalah terletak di atas bahu setiap orang Islam.

Antara cabaran pembelajaran dan pengajaran agama yang utama pada masa kini ialah pemahaman Al-Din dalam konteks fardu ain dan fardu kifayah, budaya Iqra’, ilmu wahyu dan ilmu aqli, taqwa, hijrah, jihad, tamadun dan kesejahteraan.

Kekuatan umat Islam adalah terjamin apabila terdapat ramai cendiakawannya yang mampu berfikir dan berhikmah ketika menghadapi dan melewati masa kritik.

Untuk memastikan bahawa umat Islam tidak ketinggalan di belakang dalam bidang pengembangan dan pengurusan ilmu, amat diperlukan perancangan dan tindakan lonjakan hebat dalam bidang ini (KPM telah pun melancarkan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi 2015- 2025).

Umat Melayu sendiri haruslah mengkaji dan mengetengahkan keterampilan mereka dalam bidang ilmu warisan, tamadun, perpustakaan, manuskrip mereka, terutamanya yang menonjolkan peranan umat Melayu dalam tamadun Islam dan penghayatan Islam sebagai Al-Din.

Pendidikan Islam dalam bentuk ini adalah menyuburkan ilmu ke dalam pemikiran yang sememangnya telah bersedia, lebih berbentuk kepada kenyataan dan amat tinggi daripada mentaliti dan persiapan otak pelajarnya.

Haruslah difahami bahawa individu yang hanya mementingkan dirinya sendiri sahaja tanpa mempunyai rasa tanggung jawab kepada masyarakat belum lagi sebenarnya ‘beragama’ kerana corak pendidikan itu hanya mengakibatkan kelahiran masyarakat Islam yang tidak berupaya menyelesaikan konflik sesama sendiri.

Hal inilah yang mungkin berlaku dalam segelintir negara Islam yang bermasalah sekarang.

* Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia