Warga emas dipukul, diikat sebelum disamun

Mohd Padzli Mohd Zain
Mohd Padzli Mohd Zain
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga emas dipukul dan diikat pada kerusi sebelum disamun di rumahnya di Jalan Sultan Ibrahim, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kejadian itu berlaku pada jam 5 pagi ketika mangsa, 63, tinggal seorang diri di rumah.

"Semasa kejadian, mangsa didatangi dua lelaki lalu mengikat mangsa di kerusi dengan menggunakan paip hos dan pita pelekat.

"Mangsa juga telah dipukul oleh kedua-dua suspek dengan menggunakan kerusi besi sebelum barangan milik mangsa iaitu satu telefon bimbit, barangan kemas serta wang tunai dilarikan kedua-dua suspek tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata, anak perempuan mangsa berusia 30 tahun yang duduk di rumah lain datang ke rumah warga emas itu sebelum membuat laporan polis pada jam 8.40 pagi pada hari yang sama.

Katanya, mangsa telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk menerima rawatan kerana mengalami bengkak pada mata, lebam pada tangan dan bengkak di belakang kepala.

Kes tersebut katanya, disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bersabit kes di atas boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nizam Ramon menerusi talian 011-16086119 atau talian Hotline IPD JBS 07-2182323.

Artikel Berkaitan: