Bantuan JKM perlu diberi kepada golongan miskin tegar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar ekonomi menyifatkan cadangan untuk menaikkan jumlah bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada antara RM200 sehingga RM300 kepada RM1,000 sebagai tindakan yang baik serta tepat dengan situasi ekonomi semasa.

Bagaimanapun, mereka berpandangan beberapa perkara perlu dipertimbangkan oleh kerajaan bagi memastikan bantuan tersebut sampai kepada golongan sasar.

Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, terdapat dua perkara yang perlu diambil kira iaitu penerima mesti terdiri daripada golongan miskin tegar dan bantuan perlu diberikan dalam bentuk kupon makanan.

“Cadangan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) itu baik tapi perlu ambil kira dua perkara, yang pertama sekali oleh kerana definisi B40 ini luas, jadi kalau kita hendak bagi RM1,000 sebulan ini adalah kepada mereka yang sangat terdesak.

“Yang kedua, kalau untuk B4O ini sebenarnya sebahagian besar perbelanjaan digunakan untuk membeli makanan dan minuman.

“Jadi, daripada beri dalam bentuk tunai, saya rasa kaedah yang lebih efisien lagi sebenarnya ialah kerajaan bagi subsidi dalam bentuk makanan kepada kumpulan begini.

“Kita kena faham dalam kelompok B40 ada dalam kalangan mereka yang literasi kewangannya sangat rendah, maksudnya dia dapat duit ini sepatutnya dia guna untuk beli makanan tapi dia tidak beli makanan (beli benda lain),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Muhyiddin yang mengusulkan agar bantuan bulanan JKM yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkan ke RM1,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin usul bantuan JKM dinaikkan ke RM1,000

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Azrin berkata, kedua-dua aspek itu seharusnya menjadi pertimbangan utama oleh kerajaan bagi memastikan hasrat untuk membantu meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan mencapai matlamat sebenarnya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, cadangan yang dibuat Muhyiddin sangat dialu-alukan bagi membantu kumpulan yang terdesak.

Kata beliau, kerajaan perlu memastikan hanya golongan layak menikmati kenaikan bantuan tersebut.

Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan kewangan negara sentiasa berada dalam tahap stabil meskipun terpaksa mengeluarkan bantuan tambahan.

Barjoyai
Barjoyai

“Kalau mengikut andaian saya, kerajaan memerlukan lebih daripada RM20 bilion (jika semua B40 terima bantuan) sampai ke hujung tahun bagi memastikan makanan di atas meja setiap isi rumah sentiasa ada.

“Tetapi kalau bantuan hanya diberikan kepada kelompok yang layak, mungkin jumlahnya hanya kira-kira empat juta isi rumah bersamaan dengan RM3 bilion setahun.

“Jadi kerajaan masih mampu melakukannya, cuma perlu dipastikan kumpulan yang benar-benar memerlukan sahaja tersenarai memperoleh kenaikan jumlah bantuan bulanan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, secara asasnya kerajaan masih mempunyai keupayaan ekonomi untuk memberikan bantuan tersebut.

“Saya rasa kemampuan itu (tambah jumlah bantuan bulanan) adalah relatif pada masa ini kerana kerajaan masih mempunyai keupayaan untuk meminjam dan juga menyediakan belanjawan tambahan.

“Ini tidak akan dikira oleh penganalisis ekonomi dalam menilai kredibiliti Malaysia membuat belanjawan kerana sebenarnya semua negara di dunia mengalami situasi yang sama dan juga melakukan perkara yang sama,” katanya.