Malaysia Prihatin gambarkan keprihatinan kerajaan

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

TAHUN ini, ‘Malaysia Prihatin’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bersama logo berbentuk hati dengan warna Jalur Gemilang. Tema itu membawa pengertian seluruh rakyat Malaysia, tidak kira bangsa, agama dan warna kulit mahupun status sosioekonomi, berganding bahu memerangi pandemik Covid-19.

Malaysia Prihatin menggambarkan keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat melalui inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan serta kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

Amat menggusarkan apabila platform media sosial sering panas dengan pelbagai isu. Antara yang terbaharu adalah pemasangan bendera terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Jalan Kapar, Klang Utara. Gambar Jalur Gemilang tersebut mula tular di media sosial awal bulan ini dan seperti biasa telah mendapat komen berbaur perkauman.

Siasatan awal polis mendapati Jalur Gemilang itu dipasang oleh seorang pekerja pembersihan sekolah yang merupakan warganegara Indonesia bertaraf pemastautin tetap. Dia dibantu seorang pekerja wanita tempatan.

Selepas siap memasangnya, pekerja itu turun untuk melihat kedudukan bendera tersebut dan mendapati ia dalam keadaan terbalik. Pekerja itu kemudian terus bertindak membuka kembali bendera berkenaan untuk membetulkan kedudukannya. Semuanya berlaku dalam tempoh 10 minit.

Pada masa kejadian, seorang individu yang berada di luar pagar sekolah terbabit sempat mengambil gambar Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik. Individu itu kemudian menyebarkan gambar berkenaan di media sosial Facebook dengan memainkan isu perkauman.

Beberapa individu lain turut melakukan provokasi dengan menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang boleh menyebabkan berlakunya perselisihan faham dan perbalahan yang menggugat keselamatan dan ketenteraman awam. Ini adalah sifat yang sangat tidak bertanggungjawab.

Sempena bulan kemerdekaan ini, saya lebih suka berkongsi tentang ramai lagi rakyat Malaysia yang prihatin, yang cintakan perdamaian dan perpaduan nasional.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang dianggotai oleh kaum Cina dan Siam giat membuat kerja-kerja kebajikan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan daripada pelbagai lapisan masyarakat, malah lebih banyak pertolongan dihulurkan untuk masyarakat Melayu berbanding kaum lain. Syabas kepada Pengerusinya, Pui Tiong Lam yang prihatin merentas sempadan kaum, agama juga budaya.

Begitu juga, masyarakat Cina dan India yang bukan beragama Islam turut memberi sumbangan kepada Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Kelantan demi kebajikan semua yang memerlukan.

Ini menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia yang prihatin, yang sedia membantu tanpa mengira kaum dan agama, juga tanpa mengenali pihak yang dibantu. Cukup sekadar membaca berita atau laporan, mereka memberikan sumbangan tanpa berfikir panjang.

Hubungan harmoni dan kerjasama antara kaum merupakan kunci utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, lebih-lebih lagi pada saat negara melawan wabak Covid-19 yang bukan sahaja telah menjejaskan ekonomi negara malah dunia keseluruhannya.

Bebaskanlah minda kita daripada pemikiran etnosentrik dan kembalilah kepada al-Quran dengan sebenarnya. Ingatlah firman ALLAH dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH adalah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya”

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Dirgahayu Malaysiaku. Malaysia Prihatin.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan