Bersatu Johor serah kepada pucuk pimpinan

Mazlan beramah mesra bersama peserta selepas majlis penutupan Konvoi Merdeka UTM di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru hari ini.
Mazlan beramah mesra bersama peserta selepas majlis penutupan Konvoi Merdeka UTM di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti berhubung tindakan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang membantu calon Bebas berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa dan menyerahkan perkara itu kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat sebarang keputusan.

Katanya, Bersatu Johor tidak perlu terlalu 'melatah' kerana perkara itu perlu diselidiki terlebih dahulu kerana bimbang memperoleh maklumat yang tidak tepat.

"Kalau betul ada pelanggaran salah laku, perlu diberikan peluang untuk (Osman) memberikan penjelasan, kita kena matang (dalam membuat sebarang keputusan).

"Kita tidak punya (kuasa) untuk ambil tindakan disiplin. Hal-hal disiplin di bawah (kuasa) lembaga tatatertib parti, jadi kita (di peringkat) negeri tidak ada komen apa-apa, terpulang kepada pihak pengurusan parti," katanya.

Beliau yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan Konvoi Merdeka Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dapur Lesung, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.

Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu telah menyampaikan ucapan di sebuah restoran semasa PRK DUN Slim baru-baru ini dan video tersebut menjadi tular dalam media sosial.

Video Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam yang berdurasi satu minit 15 saat itu memaparkan Osman mengatakan bahawa Bersatu sudah beralih arah daripada penubuhan awalnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, seorang ADUN atau ahli Parlimen perlu memiliki pendirian yang tegas dan dalam hal itu, lembaga disiplin parti wajar menyiasat kesahihan video berkenaan.

Sementara itu, Osman ketika dihubungi enggan memberikan komen mengenai perkara tersebut.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor ketika ini mempunyai majoriti tipis iaitu 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi DUN.

PN menerusi UMNO mempunyai 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), Pas (satu) dan Bebas (1) sementara PH pula melalui DAP (14), Amanah (9) dan PKR (4).