Kelab luar negara, syarikat tempatan berminat jadi rakan kongsi KFA

Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan peralatan perubatan antara Kwan Swee (dua dari kiri) dan Dr Mohd Fikri (dua dari kanan) di Wisma Darul Aman, hari ini.
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan peralatan perubatan antara Kwan Swee (dua dari kiri) dan Dr Mohd Fikri (dua dari kanan) di Wisma Darul Aman, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa syarikat dalam dan luar negara menyatakan hasrat untuk menjadi rakan kongsi dalam pengurusan bola sepak Kedah untuk saingan Liga Malaysia 2021.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkata, selain Koperasi Anak Kedah Berhad, beberapa kelab bola sepak dari Australia dan Dubai turut menyatakan minat untuk menjalin kerjasama.

Menurutnya, pihaknya akan mempertimbangkan semua kertas cadangan yang dikemukakan agar semua pihak diberi peluang sama rata untuk membangunkan bola sepak Kedah.

“Banyak yang mendekati kita, kita akan pertimbang cadangan yang bagus. Saya alu-alukan pihak berminat yang mahu terbabit dalam industri bola sepak, cuma buat masa ini pintu sempadan antarabangsa belum dibuka.

"Namun mereka dipelawa untuk menghantar dahulu kertas kerja untuk diteliti,” katanya pada sidang akhbar selepas penyerahan sumbangan peralatan perubatan oleh Kelab Rotary Alor Setar kepada Hospital Sultanah Bahiyah di Wisma Darul Aman hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, sebelum ini Koperasi Anak Kedah Berhad menyatakan hasrat memiliki 51 peratus saham dalam pemilikan pasukan Kedah menjelang penswastaan musim 2021, namun belum menghantar kertas cadangan secara rasmi kepada KFA.

“Mereka perlu hantar secara bertulis untuk saya kemukakan dalam mesyuarat KFA, sebelum ini hanya cadangan lisan,” katanya.

Mengulas mengenai surat tawaran kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman untuk menaja pasukan Lang Merah, katanya, KFA belum menerima maklum balas berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita turut utus surat pelawaan penajaan kepada syarikat lain, ada tawaran dibuat RM6 juta, RM10 juta dan RM15 juta, namun semuanya belum beri kata putus,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi berkata, KFA akan membayar baki 60 peratus tunggakan gaji Mac kepada pemain termasuk tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pada Selasa ini.

“KFA turut membayar sebahagian tuntutan syarikat agen pelancongan berjumlah RM430,000, kita bayar RM100,000 dahulu kerana banyak komitmen lain, semua hutang tertunggak akan dibayar secara ansuran,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, semua peruntukan diperolehi daripada penyumbang sedia ada dan baharu tanpa menggunakan sesen pun kantung kerajaan negeri.

“Saya ucapkan tahniah atas kemenangan Lang Merah dalam perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 semalam. Harap pemain terus pulun untuk menang, urusan gaji, elaun atau hutang biar KFA usahakan,” katanya.