Kerajaan sangkal dakwaan tiada dana laksana PKPD di seluruh Kedah

Ismail Sabri bertanya khabar kepada salah seorang penerima PJM di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram hari ini.
Ismail Sabri bertanya khabar kepada salah seorang penerima PJM di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Faktor kekurangan dana dan anggota keselamatan yang terhad untuk mengawal sesuatu kawasan bukan alasan untuk kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara meluas di Kedah pada ketika ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penilaian teliti tentang sesuatu kawasan yang akan dikenakan PKPD perlu dibuat terlebih dahulu sebelum dibentangkan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri.

"Tidak betul jika ada yang menyatakan kerajaan Persekutuan tidak mengumumkan PKPD di seluruh Kedah kerana alasan dana tidak cukup.

"Tiada sebarang alasan apa-apa kekangan untuk arahan PKPD tidak dilaksanakan. Hanya Kementerian Kesihatan yang berhak menentukan sama ada PKPD perlu dibuat secara menyeluruh di satu daerah mahupun mengikut mukim," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, di sini hari ini.

Menurut Ismail, kerajaan Persekutuan sudah berubah menggunakan pendekatan baharu dalam pelaksanaan PKPD berbanding pada awal wabak melanda negara.

"Pada awal wabak Covid-19, memang kerajaan mengeluarkan arahan PKPD secara menyeluruh di kawasan yang luas atau seluruh negeri jika ia diisytiharkan zon merah dengan 40 individu positif wabak berkenaan.

"Namun selepas itu kita perkecilkan kepada daerah, selepas itu perkecilkan kepada mukim dan kini kita perkecilkan lagi mengikut lokaliti terbabit sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman dilaporkan berkata, kerajaan negeri pernah mencadangkan supaya PKPD secara pentadbiran diadakan secara meluas di negeri itu bagi mengekang penularan Covid-19, namun akur ia dilaksanakan mengikut mukim atau kawasan sahaja berikutan kekangan tertentu.