Rukun Negara bukan sekadar kata-kata

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Nilai dan ajaran Rukun Negara tidak boleh dijadikan sekadar kata-kata tanpa dipraktikkan dan diperhalusi kandungannya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terdapat kelompok tertentu yang dilihat masih tidak memahami nilai-nilai di dalam Rukun Negara sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, sejak awal penubuhan Malaysia, negara ini didirikan dengan nilai timbang rasa, saling hormat-menghormati dan ketinggian budi seperti yang digariskan dengan jelas di dalam Rukun Negara.

"Semua pihak tidak boleh melupakan fakta bahawa negara ini dibina dengan usaha dan jerit perit leluhur kita yang menumpahkan darah serta air mata demi melihat sebuah bangsa yang dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas dunia," katanya menerusi Perutusan Hari Kebangsaan 2020 hari ini.

Sementara itu, Amirudin menyeru rakyat Selangor supaya dapat terus mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam.

Menurut beliau, walaupun negara menyambut bulan kemerdekaan, namun rakyat masih lagi tidak bebas daripada ancaman koronavirus (Covid-19).

"Saya juga ingin memberikan tabik hormat kepada setiap petugas barisan hadapan di seluruh negara yang berjuang dan berkhidmat tanpa henti untuk memelihara serta melindungi rakyat daripada pandemik global ini.

"Perjuangan dan pengorbanan anda adalah lambang bakti setia kepada negara yang tercinta ini," katanya.

Artikel Berkaitan: