Sistem e-kerajaan mampu perkasa perkhidmatan awam: Cuepacs

ADNAN MAT
ADNAN MAT
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik keputusan kerajaan untuk melaksanakan sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan) dalam perkhidmatan awam pada masa akan datang.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, ia merupakan langkah tepat dan sesuai pada masanya bagi memastikan negara terus bergerak ke hadapan selepas penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, pelaksanaan e-kerajaan ini dilihat memberi kelegaan kepada semua 1.6 juta kakitangan dalam perkhidmatan awam.

"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedar bahawa sudah tiba masanya penjawat awam ini dibantu menggunakan kecanggihan teknologi dalam memudahkan urusan kerja seharian.

"Tidak dapat dinafikan terdapat beberapa sektor perkhidmatan yang memerlukan penggunaan e-kerajaan disebabkan jumlah kerja yang terlalu banyak.

"Jaminan Perdana Menteri untuk mengekalkan jumlah 1.6 juta penjawat awam sedia ada turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa saiz perkhidmatan awam negara ketika ini terlalu ramai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, e-kerajaan hanyalah kecanggihan teknologi semata-mata tetapi ia tetap tidak akan dapat berfungsi dengan baik bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat tanpa penjawat awam yang menjadi tunjang kepada pertadbiran kerajaan.

"Harus diingatkan bahwa keperluan untuk sumber tenaga manusia dalam perkhidmatan awam sememangnya diperlukan bagi melaksanakan sistem yang menyokong kepada perkhidmatan yang diberi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Adnan turut mengingatkan kepada semua penjawat awam untuk tidak membuat andaian negatif berhubung pelaksanaan e-kerajaan tersebut.

"Penjawat awam tidak perlu bimbang, sistem e-kerajaan ini tidak akan menggantikan tugas mereka kerana ia dicipta bertujuan menjadikan kerja yang dilakukan ketika ini lebih mudah dilaksanakan.

"Dalam sektor-sektor tertentu pula, sentuhan atau keterlibatan secara langsung daripada penjawat awam masih diperlukan oleh rakyat. Sistem ini tidak akan boleh menggantikan seorang guru daripada mengajar anak muridnya, ia juga tidak boleh menjaga keselamatan rakyat seperti yang dilakukan oleh anggota keselamatan kita," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bilangan penjawat awam kekal meskipun e-kerajaan dilaksanakan

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi jaminan bahawa jumlah penjawat awam seramai 1.6 juta di seluruh negara tetap dikekalkan meskipun sistem e-kerajaan dilaksanakan.

Katanya, ini kerana penjawat awam masih diperlukan untuk melakukan tugas-tugas lain bagi meningkatkan lagi keberkesanan penyampaian perkhidmatan, justeru tidak timbul isu pengurangan jumlah sedia ada.