Motivasi Lang Merah meningkat

Ortega (kanan) sumbang satu gol buat Kedah. - Foto: AHMAD ZAKI OSMAN
Ortega (kanan) sumbang satu gol buat Kedah. - Foto: AHMAD ZAKI OSMAN
A
A
A

KEDAH mendapat tonik berguna sebelum saingan Liga Super 2019 membuka tirai apabila menang besar 4-0 menewaskan Home United pada aksi persahabatan antarabangsa 2019 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Jonathan Bauman terlebih dahulu meletakkan Lang Merah di hadapan pada minit ke-12 selepas memanfaatkan kekalutan yang berlaku di hadapan pintu gol hasil sepakan sudut ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Bauman tidak menunggu lama untuk mencetak gol kedua selang tiga minit kemudian untuk kedudukan Kedah di hadapan 2-0.

Beliau yang merupakan penyerang kelahiran Argentina berjaya menanduk gol hantaran lintang cantik dari Mohd Zaquan Adha Abd Razak.

Home United hampir merapatkan jurang pada minit ke-29 menerusi Song Uyong namun percubaannya melepasi palang gol walaupun penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim sudahpun tertewas.

Kedah terus bernafsu menambah gol ketiga pada minit ke-32 untuk kedudukan 3-0 menerusi Fernando Ortega selepas menguis bola yang ditepis penjaga gol lawan, Rudy Khairullah hasil percubaan sepakan percubaan Baddrol.

Pada minit ke-49, tuan rumah yang mengekalkan momentum tingginya terus menjarakkan jurang gol kepada 4-0 hasil sepakan percuma menarik oleh Baddrol untuk menceriakan kira-kira 15,000 penyokong Kedah.

Pada perlawanan tersebut, Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Shahrin Sahak juga mengilirkan hampir semua kesebelasan utamanya dengan memasukkan pemain-pemain muda antaranya Amirul Hisham Awang Kechik, Hidhir Idris, Farhan Abu Bakar, Fadzrul Danel, Mohd Fayadh Zulkifli Amin, Mohd Syazwan Tajudin dan Nor Fiqrie Abd Talib.

Artikel Berkaitan:

Lang Merah bakal membuka tirai Liga Super 2019 bertemu PKNP pada 2 Februari depan di laman lawan di Stadium Manjung.