Hasrat geng Ysuku uji 'power' terbantut

Anggota bertugas sedang melakukan pemeriksaan ke atas motosikal Ysuku yang ditahan dalam Operasi Motosikal di Jalan Benting Lintang, Jerteh, Besut, Jumaat lalu - Foto Ihsan IPD Besut
Anggota bertugas sedang melakukan pemeriksaan ke atas motosikal Ysuku yang ditahan dalam Operasi Motosikal di Jalan Benting Lintang, Jerteh, Besut, Jumaat lalu - Foto Ihsan IPD Besut
A
A
A

BESUT- Hasrat sekumpulan samseng jalanan 'Ysuku' yang mahu menguji kelajuan motosikal masing-masing tidak kesampaian apabila ditahan dalam Operasi Motosikal di Jalan Kampung Benting Lintang, Jerteh di sini kelmarin.

Operasi yang bermula jam 4 petang dan berakhir 7 malam itu turut tertumpu di Jalan Bukit Keluang, Kampung Raja di sini.

Ketua Polis daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, operasi dilakukan hasil intipan dan aduan awam memaklumkan kedua lokasi itu kini menjadi tumpuan geng tersebut untuk menguji 'power' terutama pada hari minggu.

"Dalam operasi tersebut, seramai 75 individu diperiksa iaitu 57 daripadanya berusia antara 16 hingga 30 tahun dikenakan tindakan undang-undang kerana melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Abdul Rozak Muhammad
Abdul Rozak Muhammad

"Kesalahan paling banyak dikesan dilakukan penunggang motosikal yang menjadi trend golongan belia hari ini ialah mengubah suai kelajuan dengan menukar ekzos yang menyebabkan bunyi bising, guna tayar terlalu kecil dan tidak menggunakan cermin sisi.

"Selain itu, ada juga dalam kalangan mereka ini didapati menunggang tanpa lesen sah selain motosikal yang sudah diubah suai secara berlebihan itu didapati tidak memiliki cukai jalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurut Abdul Rozak, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sita terhadap mereka sekiranya didapati melakukan kesalahan mengubah suai kenderaan itu secara berlebihan dan tidak mengikut undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Jika dulu motosikal yang popular untuk diubah suai terutama dari segi kelajuan melebihi kemampuan motosikal ialah Honda EX5 dan hari ini pula ialah motosikal jenis Yamaha 15ZR atau lebih popular dikenali Ysuku," katanya.