Putrajaya perlu suntikan idea baharu untuk kekal dinamik

Komandan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis DiRaja Malaysia, Noor Hidayah Damanhoori memimpin pasukannya pada Perarakan Pasukan Berkuda Perkhidmatan Awam sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2020 dan Jubli Perak Putrajaya di Jambatan Putra hari ini. - Foto Bernama
Komandan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis DiRaja Malaysia, Noor Hidayah Damanhoori memimpin pasukannya pada Perarakan Pasukan Berkuda Perkhidmatan Awam sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2020 dan Jubli Perak Putrajaya di Jambatan Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Putrajaya memerlukan penyertaan pelabur swasta bagi membawa idea-idea baharu dalam pembangunannya untuk kekal dinamik serta menjadi destinasi pelancongan pilihan bagi tempoh 25 tahun akan datang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, jemaah menteri juga telah meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memberi perhatian pada promosi dan pembangunan pelancongan di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.

"Selain berfungsi sebagai pusat pentadbiran, Putrajaya juga perlu disuntik dengan kepelbagaian produk pelancongan agar kewujudannya lebih 'vibrant' dan 'lively'.

"Kita amat menggalakkan kalau ada penyertaan pelabur swasta yang membawa acara-acara atau mengadakan pembangunan tertentu untuk menyokong sektor pelancongan bagi Putrajaya," katanya.

Beliau ditemui media selepas menyaksikan perarakan pasukan berkuda bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Jubli Perak Putrajaya di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun sudah terdapat produk pelancongan di Putrajaya, pembangunan seperti Quranic Village, bandar sukan serta perumahan awam boleh dimanfaatkan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelawat.

Dibangunkan di atas kawasan dinamakan Prang Besar di Selangor yang pada asalnya ladang kelapa sawit dan kawasan hutan, Putrajaya yang kini dipenuhi bangunan ikonik dan pelbagai kementerian dilancarkan pada 29 Ogos 1995 dan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan ketiga pada 1 Februari 2001.

Annuar berkata, populasi penduduk di Putrajaya dijangka meningkat kepada kira-kira 300,000 orang dalam tempoh 25 tahun akan datang berbanding sekitar 120,000 sekarang. - Bernama

Artikel Berkaitan: