Tiada pertuduhan kes gangguan seksual libat pensyarah kanan

Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi - Foto Facebook PDRM
Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi - Foto Facebook PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada pertuduhan dibuat berhubung kes gangguan seksual melibatkan seorang pensyarah kanan sebuah universiti awam di sini ke atas seorang pelajar perempuan di universiti sama.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, keputusan itu dengan mengambil kira pihak universiti telah mengambil tindakan dalaman terhadap suspek setelah meneliti segala keterangan dalam kes berkenaan.

"Mangsa berusia 23 tahun itu telah dimaklumkan sebaik sahaja mendapat keputusan serta arahan daripada pihak Pejabat Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes cabul penuntut: Pensyarah UM digantung tugas

Zairulnizam berkata, mangsa telah membuat laporan polis mengenai dakwaan gangguan seksual itu pada 15 Julai lalu.

Menurutnya, Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah menjalankan siasatan berhubung kes itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan. Kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya pada 13 Ogos lalu.

"Mangsa juga telah membuat aduan kepada pihak universiti berkenaan pada 1 Julai lalu berkenaan kes itu untuk tindakan ke atas suspek," katanya.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak menyembunyikan apa-apa kes dan telah menjalankan siasatan dalam tempoh yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan serta melanggar undang-undang," katanya.