Saringan kedua murid SJKC Subang negatif Covid-19

Izmi Ismail
Izmi Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Hasil keputusan saringan kedua ujian koronavirus (Covid-19) ke atas seorang murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Subang yang dikesan positif wabak berkenaan sebelum ini didapati negatif.

Selain murid berkenaan, dua adik-beradiknya yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam turut dilaporkan negatif wabak berkenaan menerusi ujian itu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Izmi Ismail berkata, susulan perkembangan tersebut, pihaknya mendapati tiada sebarang keperluan untuk menutup sesi persekolahan di dua sekolah terbabit.

"Tak perlu tutup, berita terbaharu mereka semua negatif hasil daripada keputusan ujian saringan kedua yang dijalankan sebelum ini.

"Jadi sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa di dua sekolah berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan mengenai murid di SJKC Subang yang dikesan positif Covid-19 dan dikatakan sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Difahamkan, sekolah tersebut juga turut memberi cuti khas pada hari Selasa dan hanya akan dibuka pada Rabu.

Izmi berkata, pihak sekolah juga sudah melaksanakan proses sanitasi semalam di kelas dan kawasan-kawasan terlibat sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun mereka negatif, namun kita tetap ambil langkah berjaga-jaga untuk menggelakkan sebarang kemungkinan," katanya.