Penduduk kesal MPS cabut palang keselamatan

Penguat kuasa MPS mencabut palang keselamatan di taman perumahan Taman Wangsa Permai Khamis lalu. Gambar kecil:Chandra Kumar
Penguat kuasa MPS mencabut palang keselamatan di taman perumahan Taman Wangsa Permai Khamis lalu. Gambar kecil:Chandra Kumar
A
A
A

KEPONG - Penduduk Taman Wangsa Permai di sini kesal apabila Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita palang keselamatan di taman perumahan mereka Khamis lalu walaupun permohonan pembaharuan skim komuniti berpengawal dan berpagar telah dikemukakan.

Pengerusinya, S Chandra Kumar berkata, pihak MPS sepatutnya menyelesaikan perkara itu secara budi bicara memandangkan permohonan memperbaharui skim berkenaan yang telah tamat tempoh sejak September tahun lalu sudah dibuat dan sedang dalam proses.

Beliau berkata, pembaharuan permit berkenaan mengalami kelewatan disebabkan urusan tergendala semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami dah guna pakai sistem ini selama 10 tahun dan setiap tahun kami perbaharui cuma tahun ini terlewat beberapa bulan.

"Kami dah hantar dokumen permohonan dan sudah bayar RM200 untuk urusan tersebut pada 25 Ogos lalu. Jadi kami tak faham mengapa MPS perlu bertegas seperti ini," katanya.

Proses permohonan skim komuniti berpengawal dan berpagar yang dibuat Persatuan Penduduk Wangsa Permai dua hari sebelum palang dicabut MPS.
Proses permohonan skim komuniti berpengawal dan berpagar yang dibuat Persatuan Penduduk Wangsa Permai dua hari sebelum palang dicabut MPS.

Terdahulu, MPS dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan sitaan palang pengadang keselamatan di dua lokasi iaitu di Taman Samudera Utara (Jalan Samudera 7, Jalan Samudera 9) dan Jalan Wangsa 1/1 di Taman Wangsa Permai.

Tindakan di Taman Samudera Utara diambil susulan palang pengadang itu dirantai serta dikunci sehingga menghalang orang awam untuk menggunakan jalan berkenaan, selain tiada permohonan skim komuniti berpengawal dan berpagar.

Artikel Berkaitan:

Sementara di Jalan Wangsa 1/1 di Taman Wangsa Permai, MPS mendapati kelulusan skim komuniti berpengawal dan berpagar telah tamat tempoh.

Chandra Kumar berkata, pihaknya memohon agar MPS dapat menyegerakan kelulusan permit tersebut bagi membolehkan palang dipasang kembali demi keselamatan penduduk.

"Pemasangan palang ini bukan untuk kepentingan individu, sebaliknya atas keselamatan 600 penduduk yang 80 peratus mereka bersetuju skim komuniti berpengawal dan berpagar dilaksanakan.

"Ada penduduk yang luah kebimbangan berhubung isu keselamatan anak-anak dan juga pencerobohan. Saya berharap permohonan ini diluluskan segera," katanya.

Notis pemberitahuan berhubung pemasangan skim komuniti berpengawal dan berpagar.
Notis pemberitahuan berhubung pemasangan skim komuniti berpengawal dan berpagar.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPS, Ahmad Fauzi Ishak memaklumkan semakan mendapati permit skim komuniti berpengawal dan berpagar di kawasan itu telah tamat tempoh sejak September tahun lalu.

"Sebelum penguatkuasaan dilaksanakan, pihak MPS telah mengeluarkan notis dan menasihati pihak persatuan untuk membuka palang berkenaan terlebih dahulu sehingga kelulusan dikeluarkan.

"Tindakan sitaan dilakukan di bawah Seksyen 46 1(a) Akta 133 bagi kesalahan halangan di tempat awam," katanya.

Beliau berkata, pihak yang ingin membina palang pengadang jalan dinasihatkan supaya memastikan permohonan dibuat mematuhi syarat-syarat skim komuniti berpengawal dan berpagar yang telah ditetapkan MPS.