Bank Rakyat serah zakat RM1.6 juta kepada Baitulmal Sarawak

Tun Abdul Taib (tengah) menerima zakat perniagaan untuk Tabung Baitulmal Sarawak daripada Bank Rakyat dan anak syarikatnya, Rakyat Management Services Sdn Bhd dalam satu majlis ringkas di kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri di Demak Jaya.
Tun Abdul Taib (tengah) menerima zakat perniagaan untuk Tabung Baitulmal Sarawak daripada Bank Rakyat dan anak syarikatnya, Rakyat Management Services Sdn Bhd dalam satu majlis ringkas di kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri di Demak Jaya.
A
A
A

KUCHING - Bank Rakyat dan anak syarikatnya, Rakyat Management Services Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaan bagi 2019 masing-masing sebanyak RM1.53 juta dan RM100,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam kenyataannya berkata, penyerahan zakat perniagaan itu disampaikan oleh Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dalam satu majlis ringkas di kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri di Demak Jaya di sini.

"Majlis ini turut disaksikan Ketua Setiausaha MEDAC yang juga Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Datuk Seri Mohammad Mentek serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed," demikian menurut kenyataan itu.

Agihan zakat perniagaan itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan zakat sebanyak RM32.99 juta yang telah diluluskan oleh Bank Rakyat kepada seluruh negeri di Malaysia bagi tahun kewangan berakhir 2019.

Saban tahun, Bank Rakyat melunaskan kewajipan yang dituntut dalam Rukun Islam itu serta kewajipan sosial korporatnya dengan memperuntukkan zakat dan hibah melebihi RM30 juta untuk disalurkan kepada semua majlis agama Islam negeri.

Kenyataan itu turut memetik Wan Junaidi sebagai berharap penyerahan zakat tersebut dapat membantu golongan asnaf dan fakir miskin mengekalkan kelangsungan bekalan makanan mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dilaksanakan susulan penularan wabak Covid-19.

Beliau turut menyeru agar institusi dan komuniti Islam terus melunaskan pembayaran zakat bagi membantu golongan yang terjejas terutamanya asnaf fakir dan miskin yang amat bergantung pada bantuan semasa tempoh yang sukar ini.

"Semoga dengan kesempurnaan salah satu Rukun Islam ini juga perniagaan Bank Rakyat bersama anak syarikatnya bertambah maju dan berkembang bagi membangunkan sistem perbankan Islam yang komprehensif yang bakal menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan komuniti, negara dan global," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rosman pula dipetik berkata, Bank Rakyat telah mengagihkan keseluruhan zakat berjumlah RM39.1 juta kepada Sarawak sejak 2010.

Katanya agihan zakat itu selaras dengan pelan lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25) yang memfokuskan Wawasan Kemakmuran Bersama dengan berkhidmat kepada komuniti dan masyarakat yang ditunjangi nilai keislaman dan prinsip kelestarian.

"Bank Rakyat sentiasa berusaha untuk memenuhi tuntutan mandat penubuhan bank dalam menyediakan peluang kepada masyarakat, termasuk golongan asnaf dalam membentuk kehidupan masyarakat yang makmur dan berkembang," katanya. - Bernama