FAMA Selangor tambah enam lagi pasar tani

Abdul Rashid (kiri) mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengunjung ketika Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Hari Kebangsaan Ke-63 di Pasar Tani Stadium Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Abdul Rashid (kiri) mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengunjung ketika Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Hari Kebangsaan Ke-63 di Pasar Tani Stadium Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor akan membuka enam lagi pasar tani di negeri itu sebagai tambahan kepada 43 pasar tani yang beroperasi sejak 16 Ogos lepas.

Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, agensi itu kini sedang mengumpul usahawan untuk berniaga di pasar tani berkenaan.

"Segala urusan dengan pihak berkuasa tempatan kita telah selesaikan, malah lokasi juga telah ditetapkan, kini hanya tinggal pendaftaran untuk usahawan. Kita yakin bulan depan kita akan dapat beroperasi," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Hari Kebangsaan Ke-63 di Pasar Tani Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Menurut beliau, tiga daripada pasar tani baharu itu terletak di daerah Petaling, dua kawasan di Sepang dan satu di Kuala Langat.

Mengenai Pasar Tani Stadium Shah Alam, Abdul Rashid berkata, pasar tani setiap Ahad yang mempunyai 200 tapak niaga itu telah beroperasi untuk minggu ketiga.

"Pada hari ini ada seramai 180 peniaga yang beroperasi, kita (FAMA) yakin pada minggu depan semua usahawan yang berdaftar akan mula berniaga melihat kepada sambutan para pengunjung di lokasi baharu ini di perkarangan kawasan letak kereta Stadium Shah Alam," katanya.

Mengulas mengenai pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga 31 Disember tahun ini, Abdul Rashid berkata, FAMA Selangor akan mempergiatkan lagi usaha memasarkan hasil-hasil petani dan penternak melalui pasar taninya.

"Melihatkan keadaan ekonomi yang semakin bagus dengan semakin ramai berkunjung ke pasar tani FAMA petani dan penternak tidak akan mempunyai masalah untuk memasarkan hasil mereka," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: