Arsenal tidak sabar mulakan saingan EPL

Mikel Arteta - Foto: Arsenal
Mikel Arteta - Foto: Arsenal
A
A
A

MIKEL Arteta menyifatkan kejayaan Arsenal menjulang trofi Perisai Komuniti selepas mengatasi Liverpool menerusi kemenangan penentuan penalti 5-4 di Stadium Wembley awal pagi tadi adalah motivasi terbaik menjelang saingan baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut pengendali The Gunners itu: “Sejujurnya saya sangat gembira dengan kejayaan dicipta pemain-pemain Arsenal selepas kami mengharungi saingan dan cabaran getir pada musim lalu.

“Saya juga realistik kami mampu memberikan cabaran musim baharu ini, apatah lagi selepas pemain-pemain menghadiahkan Perisai Komuniti buat penyokong The Gunners. Terima kasih kepada pemain atas usaha dan prestasi semua.

“Keberanian The Gunners adalah perkara yang paling menggembirakan saya pada hari ini apabila kami bermula cukup agresif pada masa sama menyerap tekanan Liverpool.

“Saya tahu pada separuh masa kedua kami akan menderita apabila Liverpool mula menggandakan tekanan, namun pemain-pemain Arsenal menyerlahkan karakter sebenar masing-masing sekali gus menimbulkan kepercayaan untuk dapat bersaing dengan kelab seperti ini di final,” katanya.

Pada aksi itu, Kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang meletakkan skuad kendalian Arteta di depan pada minit ke-12 bagi mendahului babak pertama.

Separuh masa kedua, pemain Jepun, Takumi Minamino menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan minit ke-73 bagi mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Kelab London itu mengharungi saingan musim lalu dengan keadaan hambar baik saingan domestik dan Eropah, namun kejayaan menjulang Piala FA meningkatkan motivasi anak buah Arteta.

Artikel Berkaitan:

Mengenai prestasi Aubameyang, Arteta berkata, pemain Gabon itu masih aset kepada Arsenal seperti yang dibuktikannya pada perlawanan menemukan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan juara Piala FA itu.

“Aubameyang telah memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini terutama apabila berdepan tekanan hebat Liverpool pada babak kedua. Karakternya sama seperti ketika final Piala FA sebelum ini.”

Sementara itu, Aubameyang berkata: “Buat masa ini saya berkongsi kejayaan trofi Perisai Komuniti dengan status sebagai pemain Arsenal.

“Sejujurnya persembahan Arsenal semakin baik, namun masih terdapat tugasan yang perlu diselesaikan tapi saya cukup gembira pada hari ini.”