ASEAN kongsi data sokong pembangunan vaksin Covid-19

Negara anggota ASEAN akan bekerjasama dan menyokong pembangunan vaksin Covid-19 menerusi perkongsian data dan laporan klinikal utama. (Gambar hiasan 123RF)
Negara anggota ASEAN akan bekerjasama dan menyokong pembangunan vaksin Covid-19 menerusi perkongsian data dan laporan klinikal utama. (Gambar hiasan 123RF)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bersama-sama dengan negara anggota ASEAN lain akan bekerjasama dan menyokong pembangunan vaksin koronavirus (Covid-19) rakan-rakan luar ASEAN menerusi perkongsian data dan laporan klinikal utama, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Rakan-rakan luar ASEAN adalah China, Jepun, Amerika Syarikat, Rusia, United Kingdom dan Hong Kong.

MITI dalam satu kenyataan hari ini berkata, pandemik Covid-19 telah membawa cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini yang mengorbankan banyak nyawa dan menjejaskan mata pencarian serta menyebabkan pertumbuhan perlahan ekonomi global.

“Kesemua menteri bersetuju meneruskan komitmen mereka untuk mengambil tindakan bersama dan mengurangkan impak pandemik ini ke atas ekonomi.

“Menteri juga menyatakan semula resolusi mereka bagi memastikan kestabilan makroekonomi dan kewangan dan hubungan rantaian bekalan yang berterusan terutamanya bagi aliran barangan dan perkhidmatan penting di rantau ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-52 (AEM) dan mesyuarat berkaitan yang diadakan secara maya dari 24-29 Ogos, 2020.

Mesyuarat itu yang dihoskan oleh Vietnam sebagai pengerusi ASEAN 2020, merupakan julung kalinya dalam sejarah ASEAN mesyuarat penuh AEM dijalankan keseluruhannya secara maya.

Mengenai mesyuarat tersebut, MITI berkata, semua negara anggota ASEAN berikrar untuk saling bekerjasama bagi mencapai pemulihan dengan membangunkan daya tahan dan tindak balas serantau dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19 bagi memastikan kestabilan serantau dan kemakmuran yang berterusan.

Artikel Berkaitan:

Kementerian itu juga berkata, Malaysia berpuas hati dengan kemajuan ketara perbincangan negara-negara yang menyertai Perkongsiaan Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi memuktamadkan Perjanjian RCEP untuk dimeterai pada Sidang Kemuncak RCEP ke-4 pada November 2020, dalam usaha mengekalkan pasaran terbuka bagi perdagangan dan pelaburan serta mengukuhkan kemampanan dan daya tahan rantaian bekalan serantau dan global. - Bernama