Lelaki ditahan bawa 600kg daun ketum

Mulkiaman (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas di Jalan Kampung Tanah Merah, Pedu pada 26 Ogos lalu.
Mulkiaman (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas di Jalan Kampung Tanah Merah, Pedu pada 26 Ogos lalu.
A
A
A

KUALA NERANG - Cubaan seorang lelaki membawa 600 kilogram (kg) daun ketum ke Padang Besar, Perlis gagal apabila ditahan polis di Jalan Kampung Tanah Merah, Pedu, dekat sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, lelaki yang berusia 36 tahun itu ditahan pada jam 12 tengah hari ketika memandu sebuah kereta jenis Hyundai dalam keadaan mencurigakan.

"Semasa pemeriksaan fizikal dilakukan, polis tidak menemui barang yang menyalahi undang-undang, namun polis menemui 60 bungkusan daun ketum seberat 600kg yang bernilai RM10,000 ketika pemeriksaan di belakang tempat duduk penumpang dan but kereta tersebut.

"Suspek baru pertama kali ditangkap polis dan ujian air kencingnya juga negatif," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap hari ini.

Sebanyak 600kg daun ketum dirampas di Jalan Kampung Tanah Merah, Pedu pada 26 Ogos lalu.
Sebanyak 600kg daun ketum dirampas di Jalan Kampung Tanah Merah, Pedu pada 26 Ogos lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mendapatkan bekalan daun ketum dari kebunnya sendiri di Kampung Tanah Merah.

"Suspek juga bertindak sebagai peraih daun ketum dengan membelinya dari penanam ketum di sekitar kampung di Pedu dengan harga RM6 sekilogram," katanya.

"Dia kini direman bermula 27 Ogos lalu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 sebelum dituduh di mahkamah," katanya.

Artikel Berkaitan: