Hayati Rukun Negara elak 13 Mei berulang: Hasni

Hasni (depan) bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (kiri) melihat catatan dalam Program Penghayatan Rukun Negara Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara Peringkat Negeri Johor 2020 di ruang legar Bangunan Dato Jaafar Muhamad, Iskandar Puteri hari ini.
Hasni (depan) bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (kiri) melihat catatan dalam Program Penghayatan Rukun Negara Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara Peringkat Negeri Johor 2020 di ruang legar Bangunan Dato Jaafar Muhamad, Iskandar Puteri hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Rakyat perlu menghayati dan menjiwai prinsip Rukun Negara bagi mengelakkan peristiwa 13 Mei 1969 daripada berulang.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, Rukun Negara dibentuk daripada peristiwa itu yang merupakan detik hitam dalam sejarah hubungan kaum negara ini.

"Peristiwa hitam ini telah menjadi titik temu bagi semua kaum supaya saling mengikat tali perpaduan dan semangat muhibah dengan menyemai prinsip Rukun Negara dalam setiap sanubari kita.

"Oleh itu, aspek perpaduan adalah elemen terpenting dalam Rukun Negara. Rukun Negara juga merupakan ideologi kebangsaan yang perlu didukung semua lapisan masyarakat tanpa batasan kaum, adat resam dan anutan agama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penghayatan Rukun Negara sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara Peringkat Negeri Johor 2020 di Ruang Legar Bangunan Dato'Jaafar Muhamad, Kota Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan; Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang serta Exco Perdagangan, Perpaduan dan Pengguna Negeri Johor, Dr Chong Fat Full.

Dalam pada itu, Hasni mengingatkan bahawa Rukun Negara bukan sekadar untuk dihafal atau dilafazkan sebaliknya perlu dihayati dan diamalkan.

Katanya, sesungguhnya Rukun Negara adalah rukun perpaduan bagi semua rakyat sebagai Bangsa Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Jadikanlah perpaduan sebagai suatu kebiasaan. Sematkan perpaduan sentiasa di hati kerana dari hatilah kita akan menzahirkannya dalam setiap tindakan sekali gus boleh menyatukan kita semua tanpa mengira jurang agama, bangsa dan budaya," katanya.

Menurutnya, setelah hampir 63 tahun negara mencapai kemerdekaan, rakyat hidup dalam suasana aman dan harmoni, semua itu mempunyai resipinya yang tersendiri.

"Nyata perbezaan kaum, bahasa, adat dan agama bukan penghalang untuk kita bersatu malah kepelbagaian itu dikongsi dan diangkat menjadi satu kebanggaan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata, adunan resipi itu didasari semangat kesepaduan dan penyatupaduan yang sentiasa subur dalam hati sanubari rakyat.

Tambahnya, rakyat perlu sedar bahawa proses pembinaan negara bangsa yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia bukan perkara yang mudah.

Di Johor katanya, mengamalkan prinsip Muafakat Itu Berkat iaitu berlandaskan semangat persefahaman, bermusyawarah, hormat menghormati dan saling bekerjasama antara satu sama lain.