Manogaran terima kekalahan kali ketiga dengan hati terbuka

Calon PH, M.Manogaran
Calon PH, M.Manogaran
A
A
A

TANAH RATA - Calon PH, M. Manogaran menerima kekalahan bagi kali ketiga dengan hati terbuka apabila tewas kepada pesaing utamanya Ramli Mohd Noor daripada BN pada PRK Parlimen Cameron Highlands malam ini.

Manogaran, 61, berkata, beliau berharap Ramli Mohd Noor yang telah diberi mandat oleh pengundi parlimen itu akan menjalankan tugasnya dengan baik dan membawa segala permasalahan berbangkit disuarakan ke parlimen kelak.

"Kami menerima keputusan pengundi dan saya mengucapkan tahniah kepada Tuan Ramli atas pencapaiannya. Saya berharap beliau akan menjalankan tanggungjawab sebagai anggota parlimen Cameron Highlands dan mewakili semua penduduk Cameron Highlands.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas pada jam 8 malam di Bilik Operasi Pakatan Harapan PRK Cameron Highlands di Brinchang di sini.

Manogaran yang dilihat sugul berkata, pihaknya mengadakan sidang media sebelum pengumuman rasmi keputusan dibuat kerana telah menjangkakan kekalahan itu.

“Kami telah memperoleh semua keputusan tidak rasmi. Walaupun kalah, saya berpendapat bahawa ada perkara-perkara positif untuk diambil perhatian di sini, katanya.

“Kami telah menembusi kawasan Orang Asli terutama di Jelai, Ia menunjukkan bahawa pada masa akan datang, kami akan memperolehi sokongan lebih baik di sana,” katanya ketika menarik perhatian kepada lima kawasan Orang Asli – Pos Senderut, Pos Titom, Pos Betau, Pos Lanai dan Pos Lenjang.

Manogaran turut berjanji akan terus berkhidmat sebagai penyelaras PH Parlimen Cameron Highlands di kedua-dua Dun, iaitu Tanah Rata dan Jelai. - Bernama

Artikel Berkaitan: