X

Kindly register in order to view this article
!

UMP rai 179 kakitangan cemerlang

Ibrahim Ahmad (tengah) dan Ir Dr Wan Azhar bersama sebahagian penerima APC dan penerima anugerah kecemerlangan pada majlis itu di Dewan Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang kelmarin.
A
A

KUANTAN - Seramai 179 kakitangan cemerlang Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima anugerah masing-masing pada Majlis Apresiasi sempena Hari Kualiti dan Inovasi 2020 di Dewan Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang kelmarin.

Daripada jumlah itu, 149 merupakan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi prestasi cemerlang pada tahun 2019.

Turut dirai penerima Anugerah Sukan, Anugerah Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), Anugerah ICT (K-Portal), Anugerah Penulisan Rencana, Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (AKKKP), Anugerah Kecemerlangan Industri dan Masyarakat (AKIM) serta Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC).

Pada majlis itu, UMP turut menyampaikan Anugerah Khas Kecemerlangan Penarafan Universiti kepada bekas Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim di atas sumbangan beliau dalam memartabatkan UMP sebagai sebuah universiti yang terunggul di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, penganjuran program itu merupakan medan pengiktirafan terhadap kecemerlangan warga kerja UMP dalam pelbagai lapangan serta mendorong mereka terus berkhidmat cemerlang.

Menurutnya, ia juga menunjukkan komitmen pihak pengurusan kepada penerapan budaya pengurusan kualiti secara berterusan untuk memulakan pembudayaan inovasi dalam kalangan warga universiti itu.

“UMP unik dan berbeza dengan universiti lain memandangkan ia sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang memfokus terhadap program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan.

“Aspek prestasi dan produktiviti berkait rapat dengan cara kita mengurus dan membangunkan bakat-bakat yang ada di universiti ini," katanya.

Terdahulu, beliau hadir menyampaikan anugerah kepada penerima yang turut dihadiri Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff.

Ibrahim berkata, Jabatan Pendaftar mempunyai peranan yang cukup besar bagi memastikan bakat-bakat itu terus diurus, dibangun dan digembleng secara strategik demi kelestarian operasi dan kecemerlangan prestasi UMP ke arah menjadi sebuah universiti teknologi terunggul.

Sementara itu menurutnya, UMP turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

“Peluang kerjasama itu bakal memanfaatkan pelajar dan staf universiti itu melalui penyediaan latihan, tempat latihan industri, penggunaan fasiliti bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan termasuk kajian dalam bidang pengangkutan awam.

“Kerjasama turut terjalin antara UMP dan Pertubuhan Pengusaha Agro Malaysia (PPAM) dalam pembangunan projek fertagasi Sistem Pertanian Pintar, ”katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu melibatkan pelaksanaan latihan teknikal penanaman, bimbingan dan pemantauan terhadap peserta yang dikenal pasti daripada golongan B40 menerusi Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) 2020 dari Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

“PPAM akan membantu dalam mengenalpasti lokasi projek dan pemasaran hasil produk,” katanya.

Katanya, pada majlis itu juga, turut berlangsung serahan dana RM77,600 daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) bagi pelaksanaan Projek Penyelidikan Kajian Impak Terhadap Program-Program Pendidikan YPR.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!