Pembukaan lorong kecemasan melibatkan dua lokasi kritikal

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Cadangan Plus Malaysia Berhad (PLUS) untuk membuka lorong kecemasan di dua lokasi kritikal di Lebuhraya Utara-Selatan dibuat pada musim perayaan akan datang adalah bagi melancarkan perjalanan di kedua-dua lokasi berkenaan.

Dua lokasi yang terlibat itu adalah Simpang Pulai – Gopeng (KM287 – KM295.1) – Sepanjang kira-kira 7 kilometer dan Slim River – Sungkai (dari KM367.6 – KM360.5) – Sepanjang 7 kilometer, bukannya di sepanjang lebuh raya berkenaan.

Syarikat konsesi lebuh raya menerusi satu kenyataan hari ini berkata, langkah itu juga merupakan peringkat percubaan bagi membantu syarikat menilai keberkesanan tanpa mengabaikan keselamatan pengguna lebuh raya.

“Berdasarkan kajian dan rekod PLUS pada musim-musim perayaan yang lalu, kesesakan trafik adalah amat teruk di kedua-dua lokasi terbabit.

“Oleh yang demikian, langkah untuk membuka Lorong kecemasan di kedua-dua lokasi adalah untuk memberi sedikit kelegaan kepada orang ramai ketika bergerak pada waktu puncak di musim perayaan yang akan datang.

“bagaimanapun, pembukaan lorong kecemasan hanya akan diadakan selepas semua papantanda keselamatan, trak tunda (sekiranya berlaku kemalangan), anggota keselamatan bersedia di lokasi, serta selepas mendapat kebenaran daripada pihak polis,”katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya tampil membuat penjelasan itu selepas terdapat beberapa kekeliruan dan tanggapan umum selepas cadangan itu dikemukakan.

“Berdasarkan rekod, perjalanan di antara Slim River dan Sungkai (sejauh 19 kilometer) lazimnya akan memakan masa hampir 45 minit pada musim perayaan akibat trafik sesak.

Artikel Berkaitan:

“PLUS berharap langkah membuka Laluan Kecemasan di kedua-dua lokasi terbabit akan dapat membantu orang ramai bergerak dengan lebih selesa pada musim perayaan yang akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, PLUS menjangkakan sebanyak 1.9 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari puncak pada musim perayaan ini berbanding 1.45 juta pada hari-hari biasa, iaitu peningkatan sebanyak 24%.