Hari Kebangsaan secara normal baharu, patuhi SOP

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan berlangsung secara sederhana dan mematuhi SOP yang ditetapkan. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan berlangsung secara sederhana dan mematuhi SOP yang ditetapkan. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini pastinya memahat sejarah yang tersendiri apabila buat julung kalinya tiada perarakan besar-besaran seperti tahun-tahun sebelumnya susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Meskipun begitu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) tetap menganjurkan beberapa acara utama secara sederhana dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Seperti lazimnya, perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ia kemudiannya disusuli dengan acara Ambang Merdeka untuk bersama-sama membuat kiraan detik 31 Ogos pada jam 11.55 malam ini yang disiarkan secara langsung menerusi RTM.

Raptai Sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya pada 28 Ogos lalu.
Raptai Sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya pada 28 Ogos lalu.

Acara diteruskan dengan perbualan bersama artis, kiraan detik (countdown), laungan merdeka, nyanyian lagu Negaraku, pertunjukan bunga api, lagu Sejahtera Malaysia dan diakhiri dengan nyanyian lagu Dirgahayu Tanah Airku.

Sementara itu, pada keesokkan harinya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berangkat ke Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya untuk menyampaikan Titah Diraja sempena ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu pada 31 Ogos 1970.

Kesemua acara sambutan bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ akan disiarkan secara langsung oleh TV1 dan stesen televisyen tempatan yang lain.

Artikel Berkaitan:

Patriotik

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 berkata, meskipun Malaysia masih berdepan pandemik Covid-19, namun sambutan hari penting dan bersejarah negara tetap diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik.

“Patriotik mempunyai dua komponen. Pertama, makna patriotisme iaitu cinta yang tebal dan kental kepada negara. Ia amat besar dan bukan sekadar semangat. Ia bukan politik, bukan gimik retorik. Ia melibatkan sesuatu yang agung seperti keyakinan, kebijaksanaan, keberanian, kesungguhan dan kesetiaan.

Saifuddin Abdullah - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Saifuddin Abdullah - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Kedua, fokus patriotisme yang merujuk bagaimana makna patriotisme yang kekal itu diterjemah dalam bentuk ekspresi dan aksi yang khusus mengikut situasi dan kondisi serta masa dan tempat tertentu,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, bagi generasi yang hidup pada zaman penjajahan, fokus patriotismenya adalah untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Katanya, bagi generasi selepas itu, fokusnya adalah untuk mengisi kemerdekaan.

“Bagi yang melalui konfrontasi, fokusnya adalah untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia yang baru dibentuk,” kata beliau.

Unit Bergerak

Saifuddin berkata, aktiviti Info On Wheels (IOW), anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dilaksanakan bagi tujuan menggelorakan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat dan menyemarakkan kibaran Jalur Gemilang di seluruh Malaysia.

Menurutnya, sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020, IOW akan bergerak ke destinasi yang ditetapkan untuk menghebah isu semasa serta memasarkan dasar dan inisiatif kerajaan melalui Unit Bergerak (Mobile Unit).

Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad (tengah) memberi penerangan kepada Saifuddin (dua dari kiri) mengenai persiapan dan raptai Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini yang akan berlangsung di Putrajaya. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad (tengah) memberi penerangan kepada Saifuddin (dua dari kiri) mengenai persiapan dan raptai Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini yang akan berlangsung di Putrajaya. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

“IOW Merdeka telah bermula pada 16 Julai lalu dan akan berakhir pada 16 September 2020 sempena Sambutan Hari Malaysia 2020. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 3,060 program akan dilaksanakan melibatkan 153 daerah di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, hebahan dibuat melalui pembesar suara Unit Bergerak yang disertai dengan aktiviti edaran dan pemasangan Jalur Gemilang di kawasan komuniti dengan mengamalkan SOP ditetapkan kerajaan.

“Aktiviti hebahan akan disemarakkan dengan lagu-lagu patriotik, selain mesej kempen-kempen nasional seperti Rukun Negara, Kempen Kibar Jalur Gemilang dan pesanan khidmat masyarakat berkaitan inisiatif kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai pencapaian IOW Merdeka, Saifuddin berkata, program itu telah dijalankan di 153 buah daerah dengan menyasarkan sebanyak 3,060 program.

“Dari 16 Julai hingga 21 Ogos, sebanyak 1,524 program IOW Merdeka telah dilaksanakan melibatkan sebanyak 4,787 lokasi.

“Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebanyak 66 program IOW Merdeka telah dilaksanakan di 511 lokasi dalam tempoh tersebut dan daripada jumlah itu, dua program IOW Merdeka yang telah dilaksanakan di Putrajaya melibatkan 13 lokasi,” kata beliau.